safeek@bh.com.my
Kuala Lumpur: Polis akan memperhalusi dan mengkaji ucapan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang ketika Himpunan Pembangkang berlangsung di Dataran Merdeka, petang tadi.
Tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya ucapan berkenaan menyentuh isu berkaitan Raja, Agama dan Kaum (3R).
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata pihaknya juga akan membuat kajian berhubung ucapan yang berbaur hasutan ketika perhimpunan berkenaan.
“Kalau didapati ada terdapatnya unsur hasutan dan berkaitan 3R, kita tetap akan ambil tindakan.
“Sebagaimana yang saya tegaskan sebelum ini hak untuk berhimpun secara aman memang ada, cuma kita ada akta dan undang-undang.
“Kalau didapati melangkaui akta tersebut tindakan pasti diambil,” katanya selepas perhimpunan berakhir di Dataran Merdeka, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan kajian lebih terperinci berhubung perhimpunan berkenaan sebelum memutuskan untuk memanggil pihak penganjur bagi tujuan nasihat dan penambahbaikan sekiranya ada perancangan untuk penganjuran akan datang.
“Sama ada tindakan atau perbincangan, kita akan memutuskan kemudian.
“Apa yang penting adalah tiadanya sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Antara pemimpin yang menyampaikan ucapan dalam himpunan itu adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dan beberapa pemimpin parti pembangkang dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
© New Straits Times Press (M) Bhd