harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengenal pasti individu terbabit dalam kejadian pecah masuk rumah cucu Tun Dr Mahathir Mohamad di Bukit Ledang, di sini, pada Rabu.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihaknya juga sedang menanti laporan daripada unit forensik untuk dapatkan petunjuk.
“Perlu saya jelaskan sebenarnya rumah itu milik Mirza Mahathir tetapi didiami oleh anaknya iaitu cucu Tun M.
“Ketika kejadian dia tiada di rumah, dan kita difahamkan dia jarang ada di situ.
“Cuma ada penjaga, dan pembantu rumah (ketika kejadian)… ada kesan pecah rumah dan kita sedang siasat ,”katanya pada sidang media di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.
Menurutnya, kerugian dianggarkan kira-kira RM1.8 juta membabitkan barangan berbentuk barang kemas lama, serta barangan peribadi milik penghuni rumah.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan dijangka akan mengambil sedikit masa bagi mencari petunjuk berhubung kejadian itu.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, cucu kepada bekas Perdana Menteri, Tun M, kerugian kira-kira RM1.8 juta selepas kediamannya di Bukit Ledang di sini di pecah masuk.
Menurut sumber, kejadian disedari berlaku jam 3 petang apabila pembantu rumah mangsa menghubunginya memberitahu pintu pagar di bahagian belakang rumah dipotong dan bilik mangsa dimasuki pencuri.
© New Straits Times Press (M) Bhd