KANGAR: UMNO bahagian Kangar dan Perlis khususnya tidak mengambil pendekatan ofensif atau menyerang kerajaan negeri kerana yakin rakyat sendiri mampu menilai prestasi pentadbiran kerajaan yang dilingkari pelbagai isu.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, tumpuan UMNO khususnya di bahagian Kangar adalah terhadap pengukuhan parti dalam mendekati rakyat daripada bermain politik terhadap sesuatu isu.
Beliau yakin, rakyat sendiri sedar terhadap isu-isu semasa melingkari pentadbiran kerajaan negeri termasuk dalam soal janji-janji manisfesto.
“Isu janji-janji manisfesto antaranya kalau kita teliti semula dan rakyat Perlis perlu menilai semula apa indeks pencapaian kerajaan negeri berdasarkan manifesto tersebut.
“Biar rakyat sendiri menilai dan disebabkan itu juga, UMNO tidak terlalu bersifat ofensif sebaliknya kita lebih kepada tumpuan pengukuhan parti dalam mendekati rakyat,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kangar di salah sebuah hotel di sini hari ini.
Perasmian tersebut disempurnakan oleh Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu, Fathul Bari yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, UMNO di semua tiga bahagian mengambil maklum dan menyahut cabaran Ahmad Zahid untuk kembali menawan Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, sejak beberapa tahun lalu, gerak kerja di Parlimen dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing terus dipergiatkan.
“Insya-Allah mula hujung tahun ini atau awal tahun depan kita akan mengadakan siri atau program penjelajahan di setiap DUN-DUN. Cadangan itu juga sudah dikemukakan kepada perhubungan UMNO negeri.
“Sememangnya ada cabaran, namun Insya-Allah dalam situasi sekarang, rakyat mampu menilai dan mula merindui pentabdiran kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Insya-Allah Perlis akan berwajah baharu andai ditakdirkan BN kembali menerajui kerajaan,” katanya.-UTUSAN