Perhimpunan di ibu negara berlangsung aman, tiada tangkapan – KPN

Perhimpunan di ibu negara berlangsung aman, tiada tangkapan – KPN

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini berhubung Himpunan Pembangkang di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya menjalankan tugas pemantauan dan kawalan keselamatan dengan profesional.

“Secara keseluruhan, himpunan berlangsung dalam keadaan aman, terkawal dan tanpa sebarang insiden yang menggugat ketenteraman awam.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mengesahkan tiada sebarang tangkapan dibuat sepanjang perhimpunan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, himpunan itu membabitkan beberapa lokasi tumpuan di ibu negara antaranya sekitar Masjid Negara, pusat beli-belah Sogo, Masjid Jamek, Pasar Seni dan Dataran Merdeka.

Katanya, seramai 3,000 anggota dan pegawai polis dari Kontinjen Kuala Lumpur dan Bukit Aman ditugaskan bagi memudah cara serta mengawal keselamatan sepanjang himpunan itu berlangsung.

“Peserta mula berkumpul secara berperingkat seawal jam 10.30 pagi sebelum perarakan bergerak menuju ke Dataran Merdeka sekitar jam 2.00 petang.

“Sepanjang tempoh ini, PDRM melaksanakan pemantauan keselamatan serta kawalan lalu lintas di semua laluan yang terbabit, beberapa tokoh politik dan wakil pertubuhan hadir menyampaikan ucapan.

“Semua elemen kawalan dilaksanakan secara profesional dan beretika, mencerminkan pendekatan tenang serta tanggungjawab PDRM dalam memastikan ruang demokrasi dapat diisi dengan selamat dan berhemah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top