Bapa heavy metal sudah tiada

Bapa heavy metal sudah tiada

riadz@hmetro.com.my

Tidak akan ada lagi Prince Of Darkness – Ozzy Osbourne atau nama sebenarnya, John Michael Osbourne, perintis muzik heavy metal bersama kumpulannya, Black Sabbath yang meninggal dunia pada usia 76 tahun, Selasa lalu.

Muziknya memberi pengaruh kepada kewujudan band rock berpengaruh dunia lain seperti AC/DC dan Metallica hingga ke Aerosmiths, Guns N’ Roses, Soundgarden dan Nirvana.

Malah, bertebaran ke Malaysia seperti Search, Wings, Bloodshed, MAY, SYJ hinggalah Barbarik.

Ibarat aturan yang cantik, konsert Back To The Beginning di Villa Park, Birmingham, England pada 5 Julai lalu yang juga konsert terakhir Ozzy dan Black Sabbath betul-betul menjadi ‘ucapan selamat tinggal’ terakhir Ozzy untuk peminat, rakan dan keluarganya.

Februari lalu, Ozzy dalam satu hantaran di media sosial ketika mengumumkan konsert itu berkata, dia bersyukur kerana dapat melakukannya untuk orang yang disayanginya.

“Inilah masanya untuk saya ke ‘Back To The Beginning’. Masa untuk saya berikan balik kepada tempat saya dilahirkan iaitu Aston, Birmingham. Birmingham adalah tempat asal muzik metal yang sebenar. Birmingham selamanya!” katanya.

Isteri yang juga pengurusnya, Sharon Osbourne dalam temu bual bersama BBC News dipetik sebagai berkata, Ozzy berazam tinggi untuk mengadakan satu persembahan terakhirnya.

“Dia hebat. Dia sangat teruja dengan konsert ini, bersama anggota Black Sabbath yang lain dan semua kawannya. Semua orang juga akan teruja.

“Ozzy tidak pernah ada peluang untuk mengucapkan selamat tinggal buat kawan-kawannya, peminatnya dan dia berasakan dia tidak boleh berhenti. Tapi, kali ini dia memang akan betul-betul berhenti. ‘Full stop’,” katanya.

Hakikatnya hari ini, kata-kata Ozzy dan Sharon memang menjadi kenyataan. Ia memang betul-betul persembahan terakhir Ozzy. Selepas ini, dia tidak akan menyanyi lagi. Konsert itu memang sudah diaturkan untuk dia mengucapkan selamat tinggal buat rakan, peminat dan keluarga.

Konsert itu menyaksikan semua anggota asal Black Sabbath iaitu Osbourne, Tony Iommi (gitar), Geezer Butler (bass) dan Bill Ward (dram) bergabung kembali.

Back To The Beginning juga menjadi konsert rock paling bersejarah apabila turut menghimpunkan kumpulan rock legenda lain antaranya Metallica, Slayer, Anthrax, Guns N’ Roses, Pantera, Tool, Alice In Chains, Mastodon dan Lamb Of God yang turut mengadakan persembahan ‘tribute’ untuk Black Sabbath.

Turut membuat persembahan ialah pemuzik dan penyanyi rock legenda lain menerusi segmen Supergroup seperti Steven Tyler (Aerosmiths), Billy Corgan (Smashing Pumpkins), Chad Smith (Red Hot Chili Peppers), K.K Downing (Judas Priest), Tom Morello (Rage Againts The Machine), Nuno Bettencourt (Extreme), David Ellefson (Megadeth), Mike Bordin (Faith No More), Rudy Sarzo (Quiet Riot) dan Sammy Hagar (Van Halen).

Semuanya mengambil inspirasi Black Sabbath sebelum menubuhkan kumpulan masing-masing. Tanpa Black Sabbath, takkan ada muzik heavy metal.

Selain keluarga, pemergian Ozzy tentunya meninggalkan kesan buat rakan pemuzik terutama yang berjuang bersamanya dalam Black Sabbath seperti Iommi, Geezer dan Ward.

Iommi seperti masih tidak percaya Ozzy sudah tiada.

“Sahabatku yang amat aku kasihi, Ozzy meninggal dunia hanya beberapa minggu selepas persembahan kami di Villa Park. Tiada siapa yang dapat menggantikannya,” katanya.

Katanya, pemergian Ozzy satu berita yang amat menyayat hati sehingga dia tidak mampu mengungkapkan dengan kata-kata.

“Geezer, Bill (Ward) dan saya kehilangan seorang saudara. Saya tujukan doa dan ingatan kepada Sharon dan seluruh keluarga Osbourne. Berehatlah dengan tenang, Oz,” katanya,

Geezer pula sangat bersyukur kerana sempat membuat persembahan terakhir bersama Ozzy di konsert Back To The Beginning.

“Selamat tinggal, sahabatku. Terima kasih atas semua tahun-tahun itu. Kita memang banyak berseronok bersama. Empat budak dari Aston, siapa sangka, kan? Saya sangat bersyukur kita sempat lakukannya sekali lagi di Aston. Sayang kau,” katanya.

Bagi Ward pula, ia bukanlah ucapan selamat tinggal.

“Kat mana aku nak cari kau sekarang? Banyak kenangan bersama. Panggilan telefon kita yang terlepas. Tidak, kau akan selamanya dalam hati aku,” tulisnya.

Ramai lagi yang berduka, sedih dan sayu. Ozzy yang mencipta muzik heavy metal bersama Black Sabbath menerusi album sulung mereka pada 1970 adalah pencetus semangat anak muda menubuhkan band masing-masing selepas itu.

Metallica dalam satu hantaran di media sosial menyifatkan sukar untuk meletakkan kata-kata betapa bermaknanya Ozzy terhadap Metallica.

“Hero, ikon, perintis, inspirasi, mentor dan semestinya rakan. Ozzy dan Sharon percayakan kami dan tukarkan kehidupan dan kerjaya kami,” tulisnya di X.

AC/DC menerusi Instagram turut memberi penghormatan buat Ozzy.

“Sungguh sedih! Kehilangan besar bagi semua yang menyayanginya,” katanya.

Trivia Ozzy Osbourne

  • Band paling diminatinya ialah The Beatles. Mereka memberi pengaruh dan inspirasi untuk Ozzy menjadi penyanyi ketika fenomena Beatlemania menular di seluruh dunia ketika itu.

  • Hanya mengetahui dia menghidap disleksia ketika sudah dewasa. Bertahun-tahun sebelum itu dia diberitahu sebab dia sukar membaca ketika bersekolah adalah kerana dia bodoh.

  • Panggilan nama Ozzy sebenarnya bermula daripada ejekan rakan sekolahnya ketika kanak-kanak.

  • Lagu Suicide Solution daripada album solo pertamanya, Blizzard Of Ozz pernah mencetuskan kontroversi apabila seorang peminat remaja dilaporkan membunuh diri. Ibu bapa remaja itu mendakwa Ozzy bertanggungjawab atas kejadian itu dan memfailkan saman terhadapnya. Namun, mahkamah akhirnya menggugurkan kes itu sepenuhnya.

  • Ketika berusia 61 tahun barulah Ozzy memiliki lesen memandu. Sebelum itu, dia gagal dalam ujian memandu sebanyak 19 kali.

    © New Straits Times Press (M) Bhd

  • Scroll to Top