London: Arsenal mengumumkan sudah menandatangani penyerang antarabangsa Sweden, Viktor Gyokeres dari Sporting Lisbon, bagi memperkukuhkan pilihan serangan mereka ketika kelab itu berusaha untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Penyerang berusia 27 tahun itu, yang membantu Sporting menjuarai liga Portugal musim lalu dengan 39 gol dan turut menjaringkan hatrik dalam Liga Juara-Juara menentang Manchester City, dilaporkan menandatangani kontrak selama lima tahun dengan nilai perpindahan awal sebanyak £57.4 juta (RM325.8 juta).
Perpindahan Gyokeres, yang boleh meningkat sehingga £66.4 juta (RM376.9 juta) termasuk tambahan berkaitan prestasi, menjadikan jumlah perbelanjaan Arsenal sepanjang musim panas ini mencecah sekitar £200 juta (RM1.13 bilion).
“Untuk datang ke kelab bertaraf seperti Arsenal, saya rasa ia akan membantu saya beraksi dengan lebih baik bersama semua pemain hebat dalam pasukan ini. Saya benar-benar teruja untuk beraksi di sini,” kata Gyokeres.
Dia menjadi pemain keenam yang dibawa masuk oleh Mikel Arteta pada musim panas ini, selepas pertahanan Cristhian Mosquera; pemain tengah, Martin Zubimendi; penjaga gol, Kepa Arrizabalaga; pemain tengah, Christian Norgaard dan penyerang, Noni Madueke menyertai pasukan di Stadium Emirates.
“Saya merasakan bahawa ini adalah kelab yang sesuai untuk saya.
“Semasa saya bermain menentang Arsenal musim lalu, saya benar-benar merasai bahawa ia adalah pasukan yang sangat kuat dan amat sukar untuk ditemui.” kata Gyokeres.
Gyokeres dijangka akan menyertai rakan sepasukannya yang lain dalam jelajah pramusim Arsenal di Singapura dan Hong Kong.
“Saya sentiasa mahu menjaringkan gol. Untuk menjadi sebahagian daripada kelab ini dan menjaringkan gol dengan jersi ini dan lambang ini di hadapan semua penyokong, saya tidak sabar menantikannya,” kata Gyokeres.
Gyokeres berpindah ke Brighton dari kelab Sweden, Brommapojkarna pada Januari 2018, namun menghabiskan masa secara pinjaman di St Pauli, kemudian di Swansea dan Coventry, sebelum menyertai Coventry secara tetap pada Julai 2021.
Selepas Coventry tewas menerusi sepakan penalti kepada Luton dalam final Liga Kejuaraan 2023 di Wembley, Gyokeres melengkapkan perpindahan ke Sporting. Dia menjaringkan 97 gol dalam 102 perlawanan bersama kelab Portugal itu.
“Saya bermula di sini (di England), rasanya seperti sudah lama berlalu. Saya rasa semakin matang selepas itu. Kini saya mahu buktikan kemampuan saya yang sebenar dan beraksi cemerlang bersama pasukan,” kata Gyokeres.
© New Straits Times Press (M) Bhd