RM3 sebiji! Pil kuda dijual murah

RM3 sebiji! Pil kuda dijual murah

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Kegiatan jual beli pil kuda berlaku dengan sangat pantas di tepi jalan menyebabkan aktiviti tidak bermoral itu terus berleluasa seterusnya merosakkan ramai anak bangsa.

Tinjauan di beberapa buah kampung di sempadan negara selama beberapa hari menemukan pemberita kepada beberapa situasi yang mencurigakan termasuk pertemuan antara dua individu bermotosikal yang dilihat bertegur sapa beberapa saat, kemudian berjabat tangan sambil menghulurkan sesuatu di tapak tangan sebelum beransur pergi.

Menurut salah seorang penagih yang mahu dikenali sebagai Wan, 38, biasanya dia mendapatkan bekalan dadah daripada kenalan sendiri dan sering menggunakan taktik sama iaitu ‘jumpa tepi jalan’ atau juga dipanggil ‘kiri kanan’ kerana lebih mudah selain kurang risiko terserempak pihak berkuasa.

Katanya, bagaimana pun, cara berkenaan hanyalah untuk jualan kecil-kecilan membabitkan penagih di kawasan pendalaman yang mendapatkan bekalan pil kuda untuk kegunaan sendiri, bukan dalam kuantiti yang banyak.

“Pada awalnya saya mengambil pil kuda sebagai ‘ubat kuat’ untuk saya bekerja sebagai buruh, namun keadaan semakin tidak terkawal apabila kini saya mula ketagih dan perlu mengambilnya hampir pada setiap hari.

“Budak-budak kampung yang terjebak dengan pil kuda ini biasanya sudah tahu ‘lubang’ untuk mendapatkan bekalan dan biasanya individu menjual secara ‘kiri kanan’ ini hanyalah ejen kecil, bukanya tokan dadah.

“Sebenarnya, harga pil kuda juga berubah-ubah bermula RM7 sehingga RM10 sebiji, manakala jika beli ‘sebaris’ yang mengandungi 10 biji, harganya akan turun kepada RM6 sehingga RM8 sebiji, malah boleh juga dapat pada harga RM1 sehingga RM3 sebiji, jika beli pukal sebanyak 50 biji,” katanya yang juga bapa kepada tiga orang cahaya mata.

Wan berkata, untuk menjadi ejen atau pengedar juga bukanlah mudah melainkan mendapat kepercayaan daripada tokan atau mempunyai modal tinggi untuk membeli secara pukal selain perlu tahu cara untuk menyimpan bekalan agar tidak dihidu pihak berkuasa.

“Yang membawa dadah dari negara jiran sebelum dibawa seludup juga bukan tokan sebenar sebaliknya hanya ‘runner’ warga Thailand yang juga mengambil upah untuk menyampaikan dadah kepada penyeludup warga tempatan.

“Kalau bernasib baik, ada sahaja pil kuda yang dibawa masuk melalui jalan sah, namun kebanyakanya adalah melalui sungai selain menjadikan semak berhampiran sebagai lokasi transit. Semua kerja berisiko ini dibuat oleh orang upahan yang tokan sebenar hanya goyang kaki buat bisnes ‘atas angin’.

“Jadi tidak hairanlah ada sahaja tangkapan baharu membabitkan usahawan atau founder sesuatu produk yang berselindung dengan perniagaan lain,” katanya.

Jelasnya, dia mengakui senang mendapat bekalan pil kuda antara alasan dia sukar meninggalkan najis dadah namun berharap agar mampu kembali ke pangkal jalan suatu hari nanti.

Sementara itu, warga Thailand yang mahu dikenali sebagai Lah, 51, mengakui dia pernah menerima upah sebanyak 3,000 baht, dengan memastikan sebuah beg sandang sampai ke sebelah Malaysia dengan selamat tanpa diketahui isi di dalam beg terbabit.

“Individu berkenaan sanggup membayar saya kerana jalan sungai dikawal ketat oleh pihak berkuasa sejak pelaksanaan penutupan pangkalan haram sejak Disember tahun lalu.

“Namun, pada hari saya membawa beg terbabit terdapat kawalan ketat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) menyebabkan saya terpaksa membuang beg ke bawah jambatan (tebing sungai) melalui lubang pagar yang sudah dirosakkan sebelum ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top