Bekas bintang UFC kini tak mampu berjalan, berat badan susut

Bekas bintang UFC kini tak mampu berjalan, berat badan susut

London: Bekas bintang UFC, Ben Askren mendedahkan keadaan kesihatan dirinya yang amat mencabar selepas menjalani pemindahan paru-paru berganda akibat jangkitan pneumonia yang hampir meragut nyawanya.

Askren, 41, yang pernah dianggap antara petarung lightweight terbaik dunia pada kemuncak kariernya, mencetuskan kebimbangan dalam komuniti seni bela diri campuran (MMA) apabila dimasukkan ke hospital baru-baru ini dan disahkan perlu menjalani pembedahan berisiko bagi menyelamatkan nyawanya.

Menerusi hantaran terbaharu di Instagram, Askren berkata, dia kini sudah dibenarkan pulang ke rumah selepas beberapa minggu di hospital, namun proses pemulihan masih panjang.

“Saya sudah empat hari di rumah. Ia sesuatu yang sangat menyeronokkan dapat tidur di katil sendiri, makan makanan sendiri, luangkan masa dengan keluarga. Tapi pada masa sama, masih banyak cabaran fizikal yang saya perlu hadapi,” katanya.

Menurut bekas ahli gusti Olimpik Amerika Syarikat (AS) itu, dia kini kehilangan lebih 15 kilogram (kg) berat badan dan terlalu lemah sehingga sukar mengangkat beban ringan.

“Saya masih turun kira-kira 35 paun dari berat badan ideal saya. Saya tak mampu berjalan. Berat lima paun ni, sangat sukar untuk saya angkat. Sebelum masuk hospital, saya masih kuat. Saya mampu mengangkat 45 paun dan buat larian mendaki,” jelas Askren sambil kelihatan tercungap-cungap dalam rakaman video.

Walaupun keadaan fizikalnya amat lemah, Askren tetap optimis dan berazam untuk pulih.

“Saya berada di tahap ini sekarang, tapi saya tahu sebulan dari sekarang, saya akan berada di tempat yang berbeza,” katanya penuh semangat.

Askren sebelum ini mengejutkan peminat apabila mendedahkan bahawa dia sudah ‘mati’ sebanyak empat kali sebelum pembedahan pemindahan paru-paru itu berjaya menyelamatkan nyawanya.

Doktor kini yakin dia mampu menjalani kehidupan yang lama dan sihat, namun bekas juara Bellator dan ONE Championship itu harus melalui tempoh pemulihan yang panjang dan mencabar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top