Agensi mengaku gagal sediakan tiket pulang, syarikat alami masalah kewangan

Agensi mengaku gagal sediakan tiket pulang, syarikat alami masalah kewangan

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Pengarah Urusan Persada Global Holidays Sdn Bhd, Shahir Ibrahim mengesahkan kes 43 jemaah dan seorang mutawif yang terkandas di Jeddah adalah di bawah kelolaan pihaknya.

Beliau mengakui tidak dapat menyediakan tiket pulang kepada jemaah berikutan syarikat ini berdepan dengan masalah kewangan.

“Namun kita sedang berusaha menyediakan tiket pulang kepada semua jemaah. Setakat ini kos penginapan di Jeddah masih di bawah tanggungan pihak syarikat dan jemaah tidak perlu bimbang.

“Saya memberi jaminan jemaah akan dibawa pulang selewat-lewatnya esok secara berperingkat dan ketika ini sedang berusaha mencari dana,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, seorang bekas kakitangan Persada Global Holidays yang enggan dikenali ketika dihubungi berkata, minggu lalu seramai lapan kakitangan diberhentikan kerja.

Katanya, alasan perhentian itu adalah syarikat berdepan masalah kewangan dan tidak mampu membayar gaji kakitangan.

Terdahulu Harian Metro melaporkan seramai 43 jemaah umrah dilaporkan terkandas di Jeddah, Arab Saudi, selepas agensi pelancongan dikatakan gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia kepada semua jemaah terbabit.

Salah seorang jemaah, suri rumah, Nurhidayah Saidin, 35, dari Kuala Lumpur berkata, dia mengambil pakej empat orang dengan membayar kos RM7,800 setiap seorang.

Dia membawa ibu berusia 69 tahun, adik lelaki, 30 serta adik perempuan, 27, yang sedang mengandung.

Menurutnya, jemaah merasa terkejut apabila agensi pelancongan itu tidak menyediakan tiket balik dan disarankan membeli tiket sendiri dan bayaran pemulangan akan diberikan selepas tiba di tanah air.

“Saya menghubungi syarikat pengendali tersebut dan disaran berbuat demikian. Ada jemaah yang tidak mampu untuk membeli tiket sendiri serta khuatir agensi tidak memulangkan semula duit semula kerana sudah membayar kos yang tinggi untuk menyertai pakej ini.

“Jemaah perlu segera pulang ke tanah air kerana dalam kalangan mereka dari golongan warga emas dan wanita mengandung yang memerlukan ubat,” katanya ketika dihubungi.

Menurut sumber, jemaah kini ditempatkan di apartment di Jeddah dan pihak agensi ada meminta wang tambahan sebanyak RM2,300 untuk membeli tiket pulang ke Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top