sukan@hmetro.com.my
Melaka: Atlet dan persatuan sukan Golongan Kurang Upaya (OKU) menerima habuan durian runtuh menerusi penyampaian bantuan Program Perhebat OKU 2025 di bawah Inisiatif Bajet 2025 di Melaka hari ini.
Program penyampaian bantuan berkenaan disempurnakan Exco Belia dan Sukan Melaka, Datuk P Shanmugam yang mewakili Ketua Menteri Melaka di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka di Lendu, Alor Gajah.
Shanmugam berkata, antara penerima termasuk bagi Program Bakat Baru Para Sukan Malaysia (SUKMA) berjumlah RM14,500, Program Penyertaan ke Kejohanan Sukan (RM11,900) dan Program Latihan Pusat Kontinjen Para SUKMA Melaka (RM30,000).
Katanya, sumbangan juga kepada Penganjuran Karnival Sukan OKU berjumlah RM8,600, Program Sukan Olimpik Khas (Olahraga) Negeri Melaka (RM5,000) dan Penganjuran Kem Kontinjen Para SUKMA Melaka berjumlah RM15,000.
Menurutnya, Program Sukan Orang Pekak (tenpin boling) Negeri Melaka pula menerima RM5,000 sekali gus bantuan berkenaan diharap menyuntik semangat dan motivasi kepada golongan OKU khususnya kepada atlet yang bertanding mewakili negeri Melaka di peringkat negeri dan kebangsaan.
“Bantuan berkenaan diharap membolehkan persatuan berkenaan merancakkan pengaktifan pergerakan persatuan mereka menerusi sukan. Malah peserta OKU juga bakal terbabit memeriahkan Hari Sukan Negara (HSN) Negeri Melaka yang bakal diadakan di Merlimau Jasin pada Oktober hadapan.
“Bagi sambutan HSN Peringkat Daerah Melaka Tengah pula akan diadakan di Ayer Keroh dan Peringkat Daerah Alor Gajah dicadangkan diadakan di Padang Bola Sepak FELCRA Ramuan Cina,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis PraPelancaran HSN sempena Kejohanan Bolasepak Piala Ketua Menteri Melaka-“Master Sport”.
Hadir sama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka , Zailani Siran dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal.
Shanmugam berkata, majlis berkenaan juga simbolik pelancaran hari ikonik tahunan yang sudah pasti dinanti seluruh masyarakat khususnya bagi penggiat-penggiat sukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd