Penyanyi dan pelakon dari Singapura, Aliff Aziz meluahkan kerinduan terhadap dua anaknya, Ayden Adrean dan Ara Adreanna, selepas dikatakan tidak berhubung sejak awal tahun ini.
Dalam temu bual bersama Berita Minggu Singapura, Aliff, 34, turut mendoakan kebahagiaan bekas isterinya, Bella Astillah yang kini dikaitkan dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Jika itu adalah kebahagiaan buat mereka, saya reda dan doakan yang terbaik untuk kedua-duanya,” katanya.
Aliff Aziz rindu anak-anak
Aliff menjelaskan bahawa fokus utamanya kini adalah memulihkan diri dan membina semula kehidupan selepas pelbagai ujian peribadi. Namun, kerinduannya terhadap anak-anak tetap paling utama.
“Ayden dan Ara dikerumuni orang-orang yang sayang mereka, insya-Allah. Itu yang pertama saya fikir.
“Siapa pun di sekeliling mereka, asalkan mereka disayangi dan dilayan dengan baik… Itu sudah memadai,”katanya lagi.
Beliau turut mengaku belum berpeluang bertemu atau berhubung dengan anak-anak secara langsung, malah sukar menonton video mereka kerana terlalu sebak.
“Saya rindu sangat. Doa saya setiap hari adalah untuk dapat lihat mereka semula dan sampaikan segala yang saya simpan dalam hati.
“Daddy sentiasa ingat dan mendoakan Ayden dan Ara… I love you so much and I miss you,” luahnya dalam nada sebak.
Terdahulu, Aliff dan pelakon Ruhainies masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan pada Februari lalu selepas mengaku bersalah atas tuduhan khalwat.
Artikel lain: Bella Astillah akui bahagia kenali Syed Saddiq -“Dia lelaki green flag”
Sekadar info, Aliff dan Bella berkahwin pada 2016 dan bercerai dengan talak satu pada 13 Jun lalu.
Menurut Aliff, beliau juga berdepan dilema sama ada terus berdiam diri demi menjaga nama baik keluarga atau mengambil tindakan undang-undang.
“Kadang-kadang saya nak cerita semuanya. Tapi bila fikirkan kesan terhadap anak-anak dan keluarga, saya jadi serba salah,”katanya.
Berita Minggu turut melaporkan usaha mendapatkan komen daripada Bella mengenai kenyataan tersebut tidak berjaya.