
Aaron (kiri) dan Wooi Yik terpaksa akur tewas kepada pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri dalam aksi final Terbuka China yang berlangsung di Changzhou, sebentar tadi.
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa akur bergelar naib juara Terbuka China selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri dalam aksi final yang berlangsung di Changzhou, sebentar tadi.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, gandingan pilihan negara itu gagal menampilkan aksi bertenaga pada set pertama apabila tewas 15-21 kepada pasangan bukan pilihan dari negara jiran berkenaan.
Aaron-Wooi Yik yang kini menghuni ranking kedua dunia cuba bangkit pada set kedua, namun usaha mereka tidak membuahkan hasil apabila sekali lagi terpaksa tunduk kepada Fajar-Shohibul 14-21, sekali gus melepaskan peluang untuk merangkul gelaran keempat musim ini.
Bagaimanapun, selaku naib juara, mereka tetap membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$70,000 (RM295,505)
Kekalahan tersebut menyekat peluang mereka untuk merangkul gelaran sulung di pentas kejohanan bertaraf Super 1000 walaupun sebelum ini berjaya muncul juara trofi Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.