MRSM Balik Pulau juara SSR 2025

MRSM Balik Pulau juara SSR 2025

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau mencipta sejarah apabila buat julung kalinya berjaya meraih kejuaraan selepas mengalahkan Victoria Institution (VI) 14-13 dalam saingan Super Schools Rugby (SSR) 2025 Grand Final yang berlangsung di Taman Ekuestrian, Putrajaya, hari ini.

Lebih bermakna, kemenangan itu juga menyaksikan MRSM Balik Pulau mengejutkan juara bertahan VI dan menafikan kejuaraan hatrik yang cuba dicapai mereka pada pentas akhir itu.

Meskipun turun selaku bukan pasukan pilihan, ternyata MRSM Balik Pulau mempunyai strategi serta perancangan taktikal tersendiri, walaupun pasukan lawan, VI, bermula agak baik di awal perlawanan menerusi Indra Putra Sharulnizam yang menghasilkan try dan disempurnakan dengan conversion oleh Ummar Rayyan Mohd Sabri.

Namun, MRSM Balik Pulau memperkemaskan rentak permainan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi try daripada Muhammad Firdaus Zolkifli diikuti conversion oleh Zaim Irsyaduddin Hezrey Fardhilla.

VI yang turun memburu kejuaraan ketiga berturut-turut terus selesa berada di depan, mendahului 13-7 selepas Ummar Rayyan memanfaatkan dengan baik dua penalti yang diberikan dalam perlawanan itu.

Ketika kemenangan dilihat bakal menjadi milik pasukan dari Kuala Lumpur itu, wakil MRSM dari Pulau Pinang tetap menunjukkan ketenangan dan berjaya mencipta kebangkitan dramatik apabila Muhammad Firdaus menjadi wira pasukan dengan melakukan try pada minit-minit terakhir sebelum Aqil Zikry Abdul Malek tenang melengkapkan conversion untuk memastikan kemenangan 14-13 memihak kepada pasukan mereka.

Dalam perkembangan berasingan, sejurus kemenangan MRSM Balik Pulau itu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi hadiah istimewa buat pelajar sekolah itu iaitu semua MRSM di seluruh negara diberikan cuti rasmi esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top