Anwar kecewa himpunan pembangkang kosong tiada isu

Anwar kecewa himpunan pembangkang kosong tiada isu

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa kecewa apabila himpunan yang berlangsung semalam tidak mengetengahkan sebarang isu pokok, sebaliknya hanya menjerit slogan “Turunkan Anwar”.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa bersedia menerima teguran dan kritikan, namun beliau sedikit terkilan apabila tiada perkara asas atau cadangan membina diketengahkan oleh pihak penganjur himpunan.

“Saya ucap terima kasih kepada semua yang berhimpun semalam kerana ia berlangsung secara aman.

“Saya sentiasa bersedia mendengar apa jua teguran dan kritikan, namun sedikit kesal kerana tiada isu pokok yang diketengahkan. Yang kedengaran cuma satu, ‘Turunkan Anwar’,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Anwar berkata, anggota parti perlu terus berpegang pada semangat perubahan sedaya upaya atau islah mastata’tum.

Katanya, reformasi yang dibawa kerajaan perlu dilaksanakan secara berfasa agar dapat difahami dan berkekalan.

Sementara itu, Anwar juga menjawab desas-desus bahawa Ketua Pembangkang bakal membawa usul undi tidak percaya terhadapnya.

“Silakan. Ini negara demokrasi. Usul itu satu proses yang sah. Jika cukup jumlah, bawa saja ke Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa komited membaiki kelemahan serta membantu rakyat seperti penurunan harga RON95 kepada RM1.99 hasil penstrukturan subsidi agar hanya dinikmati rakyat tempatan.

“Keadilan mesti kekal sebagai parti masa depan. Kita bukan sempurna.

“Tapi kita jujur, dan selagi ada kejujuran serta semangat untuk membaiki, kita akan terus mara melangkaui mereka yang hanya tahu menjerit tanpa arah dan tawaran,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top