RIBUAN peserta membanjiri Dataran Warisan sempena penganjuran Separuh Maraton Taiping 2025 yang berlangsung dalam suasana penuh meriah pada Ahad.
Bertemakan ‘Larian Bersejarah di Nadi Taiping’, acara tahunan itu sekali lagi membuktikan statusnya sebagai antara perlumbaan paling indah dan bermakna di negara ini.
Laluan sepanjang 21 kilometer (km) yang mencabar, tetapi memukau menyaksikan peserta berlari merentasi lokasi ikonik sekitar Taiping termasuk Taman Tasik Taiping, kawasan perumahan Kamunting dan Bukit Jana serta Jalan Taming Sari yang kaya dengan tinggalan era kolonial.
Acara yang turut tersenarai secara rasmi sebagai anggota Persatuan Maraton dan Larian Jarak Jauh Antarabangsa (AIMS) itu berada dalam kelas tersendiri.
Ia membawakan pengalaman perlumbaan bertaraf antarabangsa menerusi penyertaan 26 buah negara sambil mengekalkan keunikan warisan bandar bersejarah berkenaan.
Dalam acara utama 21km, Ow Yong Jin Kuang dan Vivien Ng masing-masing muncul juara kategori lelaki dan wanita dengan catatan masa 1 jam 15 minit 55 saat (s) dan 1:39:41s.
Menurut Jin Kuang, 38, penyertaan beliau kali ini antara lain kerana status pensijilan AIMS yang membolehkan keputusan digunakan bagi kelayakan ke perlumbaan antarabangsa.
“Saya baru pulih daripada kecederaan pada Mei lalu, jadi dapat tamatkan perlumbaan dengan masa sebegini sangat memuaskan,” katanya yang mengusahakan perniagaan belacan dan berasal dari Perak.
Lebih menarik, isterinya, Yee Pei Ni turut mencuri tumpuan apabila memenangi kategori keseluruhan wanita 10km, hanya enam bulan selepas melahirkan anak.
“Ramai wanita berhenti berlari selepas bersalin, tetapi isteri saya sangat berdisiplin.
“Kami saling menyokong dan sentiasa percaya bahawa walaupun sibuk dengan kerja dan keluarga, kita tetap perlukan hobi. Larian adalah minat bersama kami,” ujar Jin Kuang.
Bagi Vivien, kejayaan di Taiping amat bermakna kerana ia adalah separuh maraton pertama dalam cuaca panas dan lembap selepas beliau menamatkan maraton penuh pertamanya tiga minggu lalu.
“Saya sebenarnya tidak merancang untuk menyertai perlumbaan ini. Kebetulan saya bercuti dan terlihat hantaran Facebook bapa kawan saya yang juga salah seorang penganjur.
“Reka bentuk medal sangat cantik, jadi saya terus daftar,” kata Vivien, 27, yang kini bekerja sebagai arkitek di Hong Kong dan berasal dari Selama, Perak.
Vivien sebelum ini mencatat 3 jam 22 minit di Maraton Gold Coast dan layak ke Maraton Boston 2026.
“Saya cuba untuk tidak beri tekanan pada diri sendiri, tapi kalau dapat pecah 1:30 dalam separuh maraton memang satu pencapaian besar. Impian saya ialah untuk lengkapkan semua enam World Marathon Majors,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perlumbaan, Ahmad Azri daripada MMTF Consultant menzahirkan penghargaan kepada pasukan penganjur, sukarelawan, pihak berkuasa dan komuniti Taiping yang menjayakan acara berkenaan.
“Dari awal hingga tamat, semangat yang ditunjukkan peserta dan komuniti amat luar biasa.
“Menerusi pengiktirafan AIMS, kami letakkan standard lebih tinggi dan buktikan bahawa Taiping mampu pikat perhatian dunia,” katanya.
Separuh Maraton Taiping 2025 kali ini turut menarik penyertaan dari 26 negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Australia, China, India dan United Kingdom
Penyertaan tersebut sekali gus memperkukuh reputasi acara tersebut sebagai antara yang semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa.