Perkongsian Foto Berkepala Botak, Pakai Baju Pesakit Hospital Curi Tumpuan… Elyana Titip Pesanan Buat Teman Seperjuangan

Perkongsian Foto Berkepala Botak, Pakai Baju Pesakit Hospital Curi Tumpuan… Elyana Titip Pesanan Buat Teman Seperjuangan

Perkongsian penyanyi dan pelakon Elyana, atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 38, di Instagram mencuri perhatian warganet dan peminat.

Dalam hantaran tersebut, Elyana yang sedang memakai baju untuk pesakit hospital memuat naik sekeping gambar yang memperlihatkan dirinya berkepala botak sedang berdiri di hadapan cermin di sebuah bilik air.

Selain foto tersebut, Elyana turut menulis kapsyen yang menyentuh perasaan dan sarat makna.

“Proses kehidupan kita, hanya kita yang lalui, hanya kita yang tau… Bermatian-matian berusaha untuk nampak tenang dan waras tanpa bercerita.

“Pesan ku untuk teman-seperjuangan…. Keluar dari kelompok yang hanya bercakap pakai air liur…biarkan mereka, mereka belum pernah rasa.. Kau berharga dan kau cukup layak untuk selalu dirayakan.

“Tidak peduli dalam kurang atau lebih mu. Tetap lah menjadi orang yang baik walau mereka menghina mu tidak baik,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Dalam satu lagi foto yang disertakan, Elyana turut menitipkan kata-kata yang berbunyi: “Jika akhirnya kamu mendengar cerita buruk tentang diriku dari mereka, fahamilah aku juga pernah baik pada mereka, cuma mereka tidak menceritakan bahagian itu.”

Menjengah ke ruangan komen, ramai rakan selebriti dan pengikutnya tampil memberikan kata-kata sokongan serta mendoakan agar penyanyi lagu Niat itu terus pulih dan kuat melawan ujian kesihatan.

Untuk makluman, Elyana pernah mendedahkan bahawa beliau menghidap kanser limfoma tahap empat pada tahun 2017 dan sekitar dua tahun lalu, pelantun suara lagu Diriku Tapak Sulaiman itu mengumumkan dirinya telah bebas daripada penyakit tersebut.

Scroll to Top