am@hmetro.com.my
Kulim: Sebuah kilang sarung tangan getah di sini, ditahan daripada menjalankan operasi selepas didapati melepaskan air sisa yang berbuih.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan itu dilakukan susulan aduan orang awam yang diterima pada 27 Julai lalu berhubung masalah itu.
Beliau berkata, JAS Kedah menggerakkan pasukan penyiasat pada hari yang sama ke kawasan terbabit dan hasil siasatan mendapati kilang sarung tangan getah itu melepaskan air berbuih ke dalam sistem longkang awam.
“Keadaan itu bukan sahaja mencemarkan alam sekitar tetapi berpotensi mengancam ekosistem air dan kesihatan awam.
“Sebagai tindakan segera, JAS Kedah melaksanakan penahanan operasi kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Tindakan ini bertujuan menghentikan serta-merta aktiviti pencemaran yang dilakukan oleh kilang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sharifah Zakiah berkata, selain itu, satu kertas siasatan turut dibuka di bawah Seksyen 25, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024).
Beliau berkata, berdasarkan peruntukan undang-undang terbabit, sekiranya disabit kesalahan, pihak kilang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM50,000 sehingga RM10 juta.
“Hukuman seberat ini menunjukkan betapa seriusnya kerajaan dalam menangani isu pencemaran alam sekitar.
“Pihak JAS Kedah tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk pencemaran alam sekitar.
“Kami amat menghargai laporan orang awam dalam hal ini dan berjanji akan terus memantau situasi dengan rapi,” katanya.
Sharifah Zakiah berkata, beliau menyeru orang ramai untuk terus bekerjasama dengan JAS dalam memelihara alam sekitar.
Katanya, orang awam yang ingin membuat aduan boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 dan sistem e-aduan JAS iaitu eaduan.doe.gov.my.
“Kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk memastikan alam sekitar kita terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd