Penyanyi Elyana menjelaskan gambar yang dimuat naik baru-baru ini memaparkan dirinya berimej botak bukanlah gambar baru tetapi diambil beberapa bulan lalu ketika menjalani rawatan kemoterapi.
Memetik Harian Metro, Elyana berkata sehingga kini dia masih meneruskan rawatan kemoterapi namun kehidupannya berlangsung seperti biasa.
BACA: Elyana Melawat Siti Bainun Di Penjara, Makin Cantik & Tenang
“Setakat ini saya masih meneruskan kemoterapi dan kalau anda tengok media sosial, gambar tu bukanlah gambar semalam.
“Tapi beberapa bulan lalu ketika saya buat rawatan dan sekarang ini masih menjalankan (rawatan) kemoterapi,” katanya.
Sementara itu, Elyana meluahkan rasa syukur suaminya membantu menguruskan rumah serta anak-anak. Malah, kedua-dua anaknya memahami keadaan dihadapinya.
“Saya ini nampak macam power rangers di luar, tapi sampai di rumah memang lembik (lemah). Itulah real life (kehidupan sebenar) saya, kadang-kadang sedih bila orang cakap saya pura-pura sakit nakkan perhatian.
“Apa keuntungan saya dapat kalau tipu. Tapi saya ingin memberikan semangat kepada mereka (yang senasib) supaya bila mereka nampak saya (bersemangat) mungkin mereka akan lebih semangat untuk berjuang (melawan kanser),” katanya.
Sekitar 2021, Elyana disahkan bebas kanser selepas 11 tahun berjuang melawan penyakit tersebut.
Sumber: Harian Metro