redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pencipta kandungan dan pempengaruh perlu tahu nilai diri dan batas supaya tidak ‘ketagih’ memuat naik video di media sosial kerana dikhuatiri terjebak dengan masalah kesihatan mental akibat menjadi ‘hamba’ algoritma.
Pegawai perubatan merangkap pejuang kesihatan mental, Dr Faridhil Athrash Sallehan atau dikenali Dr Athrash berkata, masalah dan penyakit kesihatan mental itu boleh menyerang seandainya individu terbabit mengalami simptom seperti gelisah, kemurungan, cepat marah, letih dan insomnia iaitu penyakit tidak boleh tidur.
Beliau yang juga pengasas Pusat Latihan dan Psikologi Atma di Bandar Baru Bangi, Selangor berkata, simptom itu berpunca daripada kekecewaan dialami apabila video dimuat naik tidak mendapat perhatian dan mencapai sasaran jumlah tontonan diinginkan serta tekanan bagi menyesuaikan diri dengan dunia glamor.
Katanya, faktor lain adalah keletihan kerana terlalu lama menghabiskan masa di media sosial dengan bersiaran langsung sehingga awal pagi yang menyebabkan jadual tidur normal terganggu.
“Bila terlalu mengejar ‘like’ dan ‘view’, mereka akan jadi galak buat ‘content’ (perkongsian video) hingga korbankan masa rehat.
“Kemudian bila tengok jumlah yang menonton tak ramai atau turun, mereka akan kecewa hingga cari cara ekstrem untuk dapat perhatian. Contohnya dengan beri komen berkaitan politik, menunggang agama atau buat ‘live’ di kawasan kemalangan.
“Akhirnya mereka akan kongsi sesuatu berpandukan apa yang orang suka tengok saja, bukan minat dan daripada sudut psikologi, ia boleh meruntuhkan identiti hingga rasa terasing walaupun ada ramai pengikut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Dr Athrash, pencipta kandungan dan pempengaruh media sosial terbabit tidak boleh merungut penat dan sebagainya jika sikap mereka berterusan begitu kerana itu jalan yang dipilih.
Bagaimanapun, Dr Athrash berkata, apa boleh dilakukan mereka adalah mengatur semula jadual harian dan detoks digital iaitu berehat seketika daripada media sosial bagi memberi ruang untuk diri sendiri.
“Mereka kena ingat nilai diri bukan terletak pada jumlah pengikut atau yang menonton video… kandungan yang bagus pun tak semestinya akan tular.
“Jangan buat content setiap hari kalau tak mampu, beri ruang untuk diri berehat dan tahu matlamat video dimuat naik untuk apa,” katanya.
Dr Athrash berkata, belum terlambat untuk individu terbabit berubah bagi mendapatkan kualiti hidup lebih baik.
Beliau juga mengesyorkan mereka yang menyedari simptom seperti disebutkannya merujuk dengan pakar kesihatan supaya keadaan tidak jadi bertambah buruk.
“Jangan segan dapatkan bantuan profesional, pergi jumpa doktor kalau rasa emosi terganggu.
“Kesihatan diri lebih utama daripada algoritma malah lebih baik jadi hamba diri sendiri daripada media sosial.
“Dalam hidup pun, kita tak boleh nak puaskan semua orang dan kena sayangi diri sendiri dulu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd