Kuala Lumpur: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengumumkan insentif khas RM300 kepada semua pelajar cemerlang Program Tuisyen Rakyat RISDA bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, sebagai penghargaan atas pencapaian membanggakan menerusi inisiatif pendidikan luar bandar itu.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 884 peserta program itu memperoleh keputusan cemerlang pada SPM tahun lepas dengan 17 orang meraih 11A,16 orang (10A) dan 72 orang (9A).
“Saya amat berbangga dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan. Daripada 654 pelajar cemerlang (5A ke atas) pada 2023, kini meningkat kepada 884 orang dan ini hasil usaha menyeluruh pelajar, ibu bapa, guru serta ekosistem pendidikan luar bandar dan RISDA.
“Insentif khas ini adalah penghargaan atas usaha gigih dan semangat juang anak-anak desa. Kejayaan anak-anak RISDA ini membuktikan walaupun kita duduk di kawasan perdesaan, ia bukan satu halangan untuk berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat RISDA di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Pengerusi RISDA Manndzri Nasib.
Beliau berkata Program Tuisyen Rakyat merupakan bukti nyata komitmen Kerajaan MADANI bahawa kesaksamaan pendidikan perlu diberi kepada semua tanpa mengira latar belakang dan tempat.
Ahmad Zahid berkata sejak dilaksanakan pada 2007, program itu telah memberi manfaat kepada 35,316 pelajar membabitkan peruntukan keseluruhan RM31.03 juta.
Bagi tahun lepas, beliau berkata RM3.51 juta diperuntukkan untuk membantu 3,015 pelajar luar bandar menduduki SPM, dengan tumpuan khusus kepada lima subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada 1,005 orang guru yang terlibat dalam program tersebut di 201 pusat tuisyen seluruh negara dan menyifatkan pengorbanan mereka sebagai tonggak kejayaan pelajar.
Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata semakin ramai anak desa berjaya melangkah ke universiti selain institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini menjadi pilihan utama.
Beliau berkata sejak pelancaran platform UP_TVET pada 2023, sambutan amat menggalakkan dengan sesi pertama menyaksikan 35,000 penempatan ditawarkan dan apabila permohonan ditutup pada 2024, lebih 125,000 permohonan diterima.
Ahmad Zahid berkata kadar kebolehpasaran graduan TVET kini mencecah 95.1 peratus kerana industri sedang memerlukan kemahiran teknikal.
“Saya amat berbangga dengan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), institusi milik penuh RISDA yang bukan sahaja menyediakan laluan TVET dalam bidang pertanian moden tetapi turut menawarkan kursus dalam perniagaan, pengurusan ladang, teknologi makanan dan pensijilan halal menjadikannya antara institusi TVET yang sentiasa relevan.
“Saya mahukan UCAM bukan sahaja sebagai game-changer malah menjadi peneraju utama dalam TVET Pertanian di Malaysia dan rantau ini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata KKDW mahu RISDA bukan hanya sebuah agensi yang menguruskan hasil komuniti sebaliknya menjadi nadi transformasi desa serta penggerak mobiliti sosial luar bandar.
© New Straits Times Press (M) Bhd