Istanbul: Trak bantuan Mesir yang berbaris di kawasan berhampiran lintasan sempadan Rafah dijadual memasuki Gaza melalui lintasan Kerem Shalom yang dikawal Israel buat hari kedua berturut-turut, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan pada Isnin.
Menurut Saluran Berita Al-Qahera, trak-trak terbabit membawa bekalan kemanusiaan penting dan sedang menunggu untuk meneruskan perjalanan ke Kerem Shalom, tempat barangan akan dipunggah untuk diagihkan di wilayah Palestin yang terkepung itu.
“Trak bantuan sarat dengan tepung gandum, komoditi paling kritikal yang kini kekurangan di Gaza serta peralatan membaik pulih infrastruktur,” menurut laporan itu.
Al-Qahera turut melaporkan bahawa Bulan Sabit Merah Mesir yang terus beroperasi secara konsisten di bandar sempadan Arish, memainkan peranan utama dalam menyelaras dan memudahkan penghantaran bantuan dari Mesir serta pelbagai penderma antarabangsa.
Konvoi terbaharu yang dianjurkan Bulan Sabit Merah Mesir itu melibatkan lebih 100 trak yang membawa lebih 1,200 tan bantuan makanan, termasuk kira-kira 840 tan tepung dan 450 tan pek makanan pelbagai jenis.
Sejak bermulanya krisis kemanusiaan di Gaza, dianggarkan sebanyak 35,000 trak bantuan memasuki wilayah itu menerusi usaha koordinasi yang diketuai Mesir bersama rakan-rakan antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd