Shatirah Amanda Bangkit Dengan MV ‘Langit Bukan Bumi’ Versi Baru, Dedah Kerugian Cecah RM50,000 Akibat Ditipu Pihak Produksi

Shatirah Amanda Bangkit Dengan MV ‘Langit Bukan Bumi’ Versi Baru, Dedah Kerugian Cecah RM50,000 Akibat Ditipu Pihak Produksi

Dua tahun menyimpan kecewa dan memilih untuk berdiam diri, penyanyi dan pelakon Shatirah Amanda akhirnya tampil bersuara mengenai kisah sebenar di sebalik muzik video (MV) Langit Bukan Limit yang tidak menjadi seperti diharapkan.

Menurut Amanda, meskipun lagu tersebut kekal utuh dari segi muzik dan mesej, fasa produksi MV menjadi punca kepada pelbagai masalah yang menggugat keyakinannya sebagai pengkarya.

“Tiada yang salah pada lagu itu, tetapi apabila masuk ke proses penggambaran, daripada koreografi, lokasi, hingga perancangan keseluruhan semuanya mula tidak selari dengan visi saya. Mungkin kerana saya terlalu percaya dan terlalu naif dengan pihak produksi iti,” katanya.

Apa yang lebih mengecewakan, projek tersebut dibiayai sepenuhnya menggunakan dana peribadinya, sekali gus menyebabkan Amanda menanggung kerugian besar.

“Anggarannya sekitar RM40,000 hingga RM50,000. Ia satu jumlah yang sangat besar bagi saya, tetapi mungkin ini harga yang perlu dibayar kerana kurang pengalaman dan tiada sokongan dalam industri ketika itu,” jelasnya.

Amanda turut mengakui insiden tersebut memberi kesan mendalam kepada dirinya, bukan sahaja secara profesional malah secara peribadi.

“Banyak yang ‘diambil’ daripada saya. Kepercayaan, keyakinan, malah sebahagian daripada jiwa seni saya. Namun saya anggap semua ini sebagai proses pembelajaran,” katanya lagi.

Namun begitu, Amanda tetap bersyukur kerana memiliki sistem sokongan yang kuat, terutamanya daripada keluarga yang sentiasa berada di sisi.

Menjadikan pengalaman tersebut sebagai titik permulaan untuk bangkit, Amanda memaklumkan dia bakal hadir dengan versi baru MV Langit Bukan Limit.

“Pernah terlintas untuk menyerah? Ya, saya manusia biasa. Tapi selepas satu titik kesedaran, saya tahu saya tidak boleh terus duduk dalam rasa kecewa. Saya boleh patah, tapi hati dan semangat saya tak akan mudah hancur,” katanya.

Meskipun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai penggambaran MV itu, Amanda mengakui proses tersebut sangat bermakna buat dirinya.

“Hanya dapat menjayakan semula MV ini pun sudah cukup besar nilainya untuk saya,” ujarnya.

Amanda turut mengakui pengalaman lalu mengajarnya untuk menjadi lebih tegas, berprinsip dan berhati-hati dalam kerjaya seni.

“Dulu saya terlalu mempercayai orang, terlalu baik, terlalu terbuka. Sekarang saya lebih tahu sempadan dan lebih berani berkata tidak,” ujarnya ketika dihubungi XTRA.

Menganggap projek kali ini sebagai satu kemenangan peribadi, Amanda berkata ia bukan hanya tentang lagu tersebut, tetapi juga sebagai simbol permulaan babak baharu dalam hidup dan kerjayanya.

Bagi Amanda, kejayaan bukan sekadar ukuran populariti, sebaliknya kemampuan untuk bangkit dan menghasilkan karya yang jujur.

“Saya rasa ini bukan sekadar untuk Langit Bukan Limit, tapi juga untuk karya-karya saya yang akan datang. Saya semakin matang dalam membuat keputusan dan lebih jelas hala tuju seni saya,” katanya.

Scroll to Top