
Jordan bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggugurkan bantuan makanan di bahagian utara Gaza pada Ahad. Foto AFP
ADDIS ABABA – Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa komuniti antarabangsa agar mengutuk penggunaan kelaparan sebagai senjata perang.
“Perubahan iklim sudah pun menjejaskan hasil tuaian, rantaian bekalan dan bantuan kemanusiaan.
“Peperangan berterusan memburukkan lagi krisis kebuluran dari Genting Gaza hingga ke Sudan. Kelaparan hanya menyemarakkan ketidakstabilan dan menjejaskan keamanan,” tegasnya menerusi sidang video di Ethiopia pada Isnin.
Susulan situasi yang semakin mendesak di Gaza, PBB memaklumkan ia berusaha untuk membantu seramai mungkin penduduk Palestin yang kelaparan setelah Israel mengumumkan jeda taktikal di beberapa kawasan bagi membolehkan penghantaran bantuan segera.
Program Makanan Sedunia (WFP) berkata, ia mempunyai bekalan yang mencukupi dan sedang menuju ke wilayah tersebut untuk diagihkan kepada kira-kira 2.1 juta penduduk Gaza.
Laporan awal menyebut lebih 100 trak bantuan telah tiba di enklaf tersebut ketika agensi antarabangsa mengambil peluang daripada jeda kemanusiaan tersebut untuk meringankan penderitaan penduduk Palestin.
Pada Ahad, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kadar malnutrisi di wilayah itu disebabkan sekatan disengajakan Israel telah mencapai tahap membimbangkan dan mengorbankan banyak nyawa terutamanya kanak-kanak.
“Masalah kekurangan zat makanan berada pada trajektori berbahaya dengan lonjakan kes kematian pada bulan ini. Sebanyak 63 daripada 74 kematian akibat malnutrisi berlaku pada Julai. Data itu menunjukkan 24 daripadanya ialah kanak-kanak di bawah usia lima tahun,” jelas WHO lagi. – AFP
Â
Â