[VIDEO] Ramona Zamzam Tak Kenal Bapa Kandung Sejak Bayi – “Dia Tak Ada Usaha Nak Cari Saya…”

[VIDEO] Ramona Zamzam Tak Kenal Bapa Kandung Sejak Bayi – “Dia Tak Ada Usaha Nak Cari Saya…”

Pelakon jelita, Ramona Zamzam mengejutkan ramai apabila buat pertama kali berkongsi kisah sebenar mengenai identiti ayahnya yang selama ini dirahsiakan sejak menceburi industri seni tanah air.

Menerusi episod podcast Bukak Mulut terbitan myaudioplus, Ramona atau nama sebenarnya Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam, 35, mendedahkan lelaki yang dikenali umum sebagai ayahnya sebenarnya ialah bapa tiri.

Cakap pasal ayah ini istimewa sangat. Saya memang rapat dengan ayah. Saya berada dalam industri sangat lama dan ini adalah rahsia yang ramai sebenarnya tak tahu.

“Ayah saya, Zamzam ini sebenarnya bukan ayah kandung. Dia ayah tiri saya. Saya dah sampai satu tahap tak kisah kalau orang tahu.

“Banyak orang tak tahu. Mungkin benda yang terjadi waktu saya kecil juga yang membentuk saya pada hari ini,” katanya.

Lebih menyentuh hati, Ramona turut berkongsi dia tidak pernah mengenali siapa bapa kandungnya kerana ibu bapanya berpisah sewaktu dia masih bayi.

Menurut Ramona, dia pernah cuba menghubungi lelaki berkenaan sewaktu zaman kanak-kanaknya, namun pengalaman itu meninggalkan luka mendalam dalam hidupnya.

“Saya dibesarkan oleh ibu dan ayah tiri. Bapa kandung saya tak pernah cari saya, dan saya pun tak pernah kenal dia. Tapi masa sekolah rendah dulu, saya cuba cari dia dan kami pernah bercakap di telefon sekali.

“Saya masih ingat perbualan itu. Saya yang masa tu teruja nak berjumpa, tapi respons dia sangat mengecewakan. Dia cakap, ‘your mum is working, she has the money, so she takes care of you. Tak apalah kalau kita tak jumpa.’

“Sejak itu saya sedar, dia memang tak nak ambil tahu pasal saya, tak ada usaha untuk cari saya. Itu antara sebab saya jadi kuat dan teruskan hidup tanpa mengharapkan sesiapa,” katanya.

Berkongsi mengenai kehidupannya kini, Ramona berkata tumpuannya hanya pada keluarga, lebih-lebih lagi bapa tirinya yang kini sedang terlantar sakit dan lumpuh.

“Sekarang saya lebih banyak habiskan masa dengan keluarga. Saya pun dah bergelar ibu, anak pun dah mula sekolah… dan dalam masa sama, ayah pula jatuh sakit.

“Saya berada di fasa hidup yang sangat mencabar. Tapi apa pun yang terjadi, fokus saya kini hanya pada mak dan ayah, terutama ayah. Walaupun bukan ayah kandung, dialah yang membesarkan saya.

“Bila lihat dia terlantar dan lumpuh, hati saya sebak. Ia bukan satu perkara mudah untuk saya lalui,” katanya lagi.

Kredit: myaudioplus

Scroll to Top