Helikopter terhempas: 2 tentera Jerman maut, seorang lagi hilang

Helikopter terhempas: 2 tentera Jerman maut, seorang lagi hilang

Berlin: Sekurang-kurangnya dua tentera udara Jerman terkorban apabila helikopter yang mereka naiki terhempas semasa latihan penerbangan di timur negara.

Nahas itu berlaku berhampiran bandar Grimma, di negeri Saxony, pada pagi Selasa, ketika helikopter EC-135 sedang menjalani latihan.

Helikopter itu difahamkan disewa bagi tujuan latihan dan terhempas ke dalam Sungai Mulde atas sebab yang masih belum dikenal pasti.

Menurut jurucakap Tentera Udara, dua anggota yang maut ialah kru berpengalaman, manakala seorang lagi masih hilang dan giat dikesan pasukan penyelamat.

Polis tempatan berkata, pesawat itu dilaporkan hilang pada sebelah pagi dan serpihannya ditemukan kemudian oleh sekumpulan pendayung yang melalui kawasan sungai terbabit.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius mengesahkan kedua-dua anggota terbabit adalah daripada Unit Sayap Helikopter 64 milik tentera udara.

“Kehilangan anggota kru ini sangat menyentuh hati saya dan seluruh angkatan tentera.

“Takziah kami ucapkan kepada keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memberi jaminan, siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Lebih 100 anggota kecemasan termasuk penyelam polis dikerahkan untuk mencari mangsa yang masih hilang.

Pihak berkuasa turut memasang pengadang minyak (oil boom) di sepanjang sungai berkenaan bagi mengekang kebocoran kerosin dari bangkai helikopter.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top