Subsidi telur ayam tamat 1 Ogos, KPKM jamin bekalan mencukupi

Subsidi telur ayam tamat 1 Ogos, KPKM jamin bekalan mencukupi

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kadar subsidi telur ayam tamat bermula 1 Ogos ini namun Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan stabil dan mencukupi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya sentiasa melakukan perbincangan bersama pengusaha dan pengeluar telur bagi memastikan bekalan sentiasa stabil.

“Sekiranya berlaku kekurangan, terutamanya di kawasan luar bandar, kerajaan akan segera campur tangan bagi menstabilkan semula bekalan.

“Tindakan ini sama seperti yang kita lakukan sebelum ini untuk subsidi ayam dan setakat ini, tiada tanda-tanda kenaikan harga telur akan berlaku selepas subsidi ditamatkan,” katanya selepas menjadi tetamu rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 di Balai Berita Bangsar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNIA, Datuk Mohd Efendi Omar dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima, Rosli Sabarudin.

Berkuat kuasa 1 Mei lalu, kadar subsidi telur ayam dikurangkan dari RM0.10 kepada RM0.05 sebiji, sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos ini.

Keputusan dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang cukup dan terjamin berikutan kos pengeluaran stabil.

KPKM dilaporkan berkata, kerajaan juga mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah satu tindakan tidak mampan kepada kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.

Selain itu, KPKM dilaporkan berkata, langkah penyasaran semula subsidi adalah lebih adil memandangkan ketika ini, subsidi turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top