hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Negara akan menerima jumlah hujan yang lebih rendah dengan bilangan hari tanpa hujan adalah lebih banyak berbanding bilangan hari hujan, semasa tempoh Monsun Barat Daya (MBD).
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, musim MBD sudah bermula pada 10 Mei lalu dan akan berterusan sehingga September depan berikutan keadaan angin yang mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara.
Menurutnya, sepanjang musim ini, kadar kelembapan udara lazimnya adalah rendah menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat.
“Kemuncak musim ini pada Julai hingga September, fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
NADMA memaklumkan secara amnya, rantau negara menerima tiupan angin baratan sepanjang tempoh ramalan dan Ribut Tropika Co-may yang berada di luar kawasan pemantauan dijangka bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan 10 kilometer sejam (km/j).
Katanya, begitu juga Ribut Tropik Kuat Krosa yang berada luar kawasan pemantauan dijangka bergerak ke arah utara dengan kelajuan 10 km/j.
“Pembentukan garis badai yang membawa ribut petir/hujan lebat berserta angin kencang masih berpotensi berlaku di barat Semenanjung Malaysia serta barat Sabah dan utara Sarawak pada awal pagi.
“Manakala, ribut petir dijangka berlaku di pedalaman dan pantai timur Semenanjung serta timur Sabah dan selatan Sarawak pada waktu petang dan malam,” katanya.
Bagi status cuaca panas terkini pada 4 petang semalam, terdapat 16 daerah iaitu Pasir Puteh dan Machang di Kelantan; Kampar di Perak; Temerloh, Maran, Pekan dan Rompin di Pahang; Kota Marudu, Pitas, Beluran, Telupid, Sandakan, Tenom dan Keningau di Sabah; serta Mukah dan Limbang di Sarawak telah mencatatkan cuaca panas Tahap 1.
Menurut NADMA, bagi tempoh hari ini sehingga 5 Ogos, dijangkakan corak cuaca yang sama akan berlaku di mana tahap amaran paling maksima yang akan dikeluarkan adalah pada Tahap 1 sahaja.
Dalam pada itu, tiada hebahan ramalan kemarau bagi lembangan sungai di Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sehingga semalam.
Sehingga hari ini, terdapat satu empangan yang menunjukkan penyusutan baki stok simpanan semasa air mentah dan berada pada paras bahaya, iaitu Empangan Bukit Merah di Perak (15.05 peratus).
Pejabat Operasi Empangan Bukit Merah sudah menghentikan bekalan pengairan selepas paras air mencapai bawah 6.1 meter dan hanya membekalkan air ke loji Lembaga Air Perak (LAP) berkuat kuasa 21 Julai lalu.
Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan status pencemaran udara terkini pada 10 pagi, hari ini tiada kawasan yang merekodkan kualiti udara yang tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.
Terdapat satu kes penyakit berkaitan dengan cuaca panas dilaporkan, semalam dan kumulatif kes berkaitan dengan cuaca panas bagi tahun 2025 adalah 40 kes. Pecahan kes mengikut diagnosis adalah 36 kes kelesuan haba dan empat kes strok haba exertional.
“Daripada itu, 12 kes di Selangor, enam kes di Sabah, lima kes masing-masing di Melaka dan Johor, tiga kes masing-masing di Terengganu dan Negeri Sembilan dan dua kes di Perak, Pahang dan Kedah.
“Tiada kematian berkaitan cuaca panas dilaporkan dari 1 Januari hingga 22 Julai lalu,” katanya.
NADMA juga memaklumkan Mesyuarat Penyelarasan Operasi Pembenihan Awan (OPA) setakat ini memutuskan belum ada keperluan untuk melaksana OPA dan ia hanya akan dijalankan setelah menerima laporan teknikal berkenaan kesesuaian cuaca dan atmosfera semasa daripada METMalaysia.
Kementerian Pendidikan (KPM) juga sudah mengeluarkan surat peringatan pengoperasian institusi pendidikan semasa cuaca panas dan ia perlu dipatuhi, menurut kenyataan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




