Gempa dahsyat gegar Rusia, cetus tsunami di Lautan Pasifik

Gempa dahsyat gegar Rusia, cetus tsunami di Lautan Pasifik

CHIBA – Satu gempa bumi kuat berukuran 8.8 magnitud menggegarkan kawasan Timur Jauh Rusia pada pagi Rabu, mencetuskan gelombang tsunami setinggi sehingga empat meter merentasi Lautan Pasifik dan memaksa pemindahan besar-besaran dari Hawaii hingga ke Jepun.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berlaku di luar pesisir bandar Petropavlovsk di Semenanjung Kamchatka, dan disahkan sebagai antara 10 gempa bumi terkuat yang pernah direkodkan.

Pasukan penyelamat memeriksa sebuah bangunan tadika yang rosak di wilayah Kamchatka selepas gempa bumi kuat berukuran 8.8 magnitud melanda pesisir timur Rusia pada 30 Julai 2025.

Pasukan penyelamat memeriksa sebuah bangunan tadika yang rosak di wilayah Kamchatka selepas gempa bumi kuat berukuran 8.8 magnitud melanda pesisir timur Rusia pada 30 Julai 2025.

Pihak berkuasa Rusia memaklumkan tsunami telah melanda dan membanjiri pekan pelabuhan Severo-Kurilsk, manakala media tempatan melaporkan gelombang setinggi tiga hingga empat meter direkodkan di daerah Elizovsky, Kamchatka.

Seramai 2,000 penduduk di kawasan tersebut telah dipindahkan ke tempat selamat, dengan beberapa orang mengalami kecederaan ringan, namun tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Pihak berkuasa wilayah Sakhalin di Rusia telah mengisytiharkan darurat di Kepulauan Kuril Utara dan memindahkan semua penduduk ke kawasan tinggi.

Di Jepun, hampir dua juta penduduk diarahkan berpindah dan gelombang tsunami setinggi 1.3 meter telah melanda pelabuhan di wilayah Iwate. Setakat tengah hari, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan.

Sementara itu, Gabenor Hawaii, Josh Green memaklumkan bahawa semua penerbangan masuk dan keluar dari pulau Maui dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Penduduk dan pelancong dilihat terkandas dalam kesesakan lalu lintas ketika cuba meninggalkan kawasan Ala Wai Harbor di Waikiki, Oahu pada Rabu susulan amaran tsunami yang dikeluarkan selepas gempa bumi kuat berukuran 8.8 magnitud melanda pesisir timur Rusia.

Gempa itu disifatkan sebagai yang terkuat di Kamchatka sejak tahun 1952. USGS turut memberi amaran kemungkinan berlaku gegaran susulan sehingga 7.5 magnitud.

Sekurang-kurangnya enam gegaran susulan telah dikesan, termasuk satu berukuran 6.9 magnitud.

Pusat Amaran Tsunami Amerika Syarikat menyatakan ombak setinggi lebih tiga meter berkemungkinan melanda pesisir Ecuador, Kepulauan Hawaii Barat Laut dan Rusia.

Gelombang antara satu hingga tiga meter pula dijangka melanda pantai di Chile, Costa Rica, Polinesia Perancis, Jepun dan beberapa pulau di Pasifik.

Beberapa negara lain termasuk Australia, Colombia, Mexico, New Zealand, Tonga dan Taiwan dijangka menerima gelombang setinggi satu meter. – AFP

Scroll to Top