Aksi lasak akak pink

Aksi lasak akak pink

razis@hmetro,com.my

DARI kejauhan, jelas kedengaran deruman enjin kenderaan pacuan empat roda yang memecah kesunyian pagi, membelah laluan curam dan berbatu.

Hujan pada malam sebelumnya menjadikan laluan ditakungi air dan berlumpur sekali gus menguji kemahiran pemandu dalam mengemudi jentera berwarna merah jambu untuk terus mengharungi halangan.

Di kerusi pemandu, Azlinda Kasim, 31, kelihatan fokus dan tenang memegang stereng, mengawal jenteranya meredah laluan berselut. Kakaknya, Amira, 33, yang duduk di tempat duduk penumpang tekun memberi arahan berdasarkan peta laluan yang dihafal sebelum perlumbaan bermula.

Namun, tanpa diduga kenderaan yang dipandu ibu kepada dua anak itu tiba-tiba tersekat dalam lumpur tebal. Tanpa berlengah, Amira pantas turun menarik kabel winch, mencangkukkannya pada batang pokok terdekat untuk menarik jentera keluar.

Selepas beberapa minit kenderaan kembali bergerak laju dan akhirnya berjaya melepasi garisan penamat dengan masa yang membanggakan.

Aksi mantap dua beradik ini bukanlah asing dalam dunia sukan ekstrem pacuan empat roda atau ‘off-road.’ Gandingan adik beradik yang dikenali sebagai Akak Pink berjaya memecah dominasi lelaki dalam sukan yang penuh cabaran ini.

Lebih mencuri perhatian, jentera merah jambu yang digunakan menjadi simbol bahawa dalam kelembutan, ada kekuatan.

Berkongsi pembabitannya dalam sukan lasak itu, Azlinda mula berjinak dalam dunia pacuan empat roda sekitar tahun 2018, ketika hanya menjadi pembantu pemandu kepada suaminya, Muhammad Solehan Abdul Hamid, 38, yang turut aktif bersama pasukan Raja Bersiong Adventure Team.

“Pada mulanya, saya fikir sukan ini tidak sesuai untuk wanita. Kena bergelumang dengan lumpur, minyak hitam, dan cabaran fizikal.

“Bagaimanapun, selepas ‘diracun’ suami untuk jadi pembantunya, saya mula belajar dan minat itu datang sedikit demi sedikit,” katanya.

Selepas dua tahun memerhati dan mempelajari teknik perlumbaan, Azlinda akhirnya memberanikan diri memegang stereng sebagai pemandu utama.

“Cabaran dalam sukan ini sangat teknikal. Sebagai ‘pilot,’ saya perlu bijak mengawal stereng, pedal minyak dan brek sambil membaca permukaan laluan.

“Memang berdebar sebelum masuk litar, tapi perasaan puas selepas berjaya mengharungi setiap halangan itu tak boleh digambarkan,” katanya yang bekerja sebagai juruterapi.

Di sebalik personaliti lembut di luar litar, Azlinda mengakui dirinya berubah 180 darjah apabila duduk di tempat pemandu.

“Ramai tak percaya saya main 4×4, mungkin sebab personaliti saya. Apabila memegang stereng, karakter saya terus berubah menjadi lebih agresif dan lasak didorong adrenalin,” katanya.

Di tempat duduk penumpang, Amira memainkan peranan yang tidak kurang penting untuk menunjuk arah, mengenal pasti laluan dan memberi isyarat tepat kepada Azlinda.

Sebelum bermulanya perlumbaan, Amira akan mengkaji laluan bersama adiknya dengan mengingati setiap selekoh dan halangan.

Katanya, ketika berada di dalam jentera, pemandu dan pembantu perlu pandai mengawal emosi, sabar, fokus dan tahan tekanan.

“Sebagai pembantu, setiap arahan yang diberikan perlu tepat dan jelas untuk memastikan pemandu dapat mengemudi jentera dengan baik.

“Sedikit kesilapan boleh mengundang padah termasuk kenderaan terbabas atau terbalik yang boleh membahayakan nyawa,” katanya.

Menurutnya, dalam sukan ini, adik beradik bukanlah kelebihan kerana perselisihan faham juga boleh berlaku.

“Sebagai contoh, perselisihan antara kami berlaku apabila adik kadang kala tidak mengikut arahan yang diberikan. Saya suruh kanan, dia masuk kiri.

“Bagaimanapun, situasi tegang hanya berlaku di dalam kenderaan sahaja dan tidak meleret sehingga ke luar yang boleh menjejaskan hubungan kami, adik beradik,” katanya.

Amira mengakui masih belum ramai wanita terbabit dengan sukan dan berharap lebih ramai golongan itu menyertai sukan pacuan empat roda.

“Dengan minat mendalam dan keinginan yang tinggi, wanita sebenarnya memiliki kemampuan untuk terbabit dalam sukan lasak ini.

“Untuk permulaan, anda boleh sertai komuniti atau kelab 4×4 tempatan bagi mempelajari banyak perkara dari segi teknikal, strategi dan juga keselamatan ketika memandu.

“Melalui komuniti, mereka bukan sahaja dapat berkongsi pengalaman tetapi juga mendapat sokongan moral apabila berdepan cabaran, terutamanya di peringkat awal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top