mohamadridzuan@hmetro.com.my
NASKHAH teater Tingginya Menyapu Awan karya Malina Manja tidak asing lagi kepada pencinta teater kerana pernah dipentaskan suatu ketika dulu.
Pemenang Hadiah Karya Sastera 1975 ini mengangkat isu kemanusiaan dan setinggan mengikut situasi pada waktu itu dan cerita ini kena benar dengan masyarakat.
Untuk itu, bukanlah menjadi halangan buat Dr Marlenny Deenerwan apabila mengarahkan teater terbabit dalam pementasan selama tiga hari pada 25 hingga 27 Julai lalu di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Menurutnya, dia percaya naskhah ini masih relevan untuk dipentaskan kerana isu setinggan dan persoalan kemanusiaan masih ada walaupun pada era sekarang.
“Dalam sejarah penulisan skrip drama Malaysia, Tingginya Menyapu Awan adalah pemenang Hadiah Karya Sastera (kini Hadiah Sastera Perdana Malaysia) kategori drama pentas.
“Ketika itu, Malina sudah berkarya selama 10 tahun. Namun, panel juri melaporkan ini adalah skrip terbaik tulisannya sepanjang hayat walaupun naskhahnya yang paling popular adalah Ayam Jantan Ayam Betina. Dengan reputasi cemerlang naskhah ini, saya percaya ia masih relevan untuk diuji di atas pentas,” katanya.
Menurutnya, proses menjelmakan naskhah ini ke pentas, sedikit mencabar kerana bermain dengan tema eksistensialisme dan realisme sosial.
“Persiapan yang dibuat mengambil masa sebulan. Mengikut data, teater ini pernah dipentaskan tiga kali sejak tahun 70-an dan kali terakhir di sebuah universiti pada 2013.
“Pendek kata, kami tidak banyak rujukan. Jadi saya amat berhati-hati kerana ia karya yang ‘absurd’ bermain dengan persoalan hidup dan Tuhan.
“Namun, isu yang dimainkan masih boleh dirasai sehingga kini mengenai kewujudan diri, golongan gelandangan dan hak perempuan,” katanya.
Teater Tingginya Menyapu Awan dibawakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL), Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya dengan kerjasama DBP.
Ia kisah gelandangan, harapan dan luka lama.
Tingginya Menyapu Awan mengetengahkan realiti kehidupan sekumpulan gelandangan yang hidup di penempatan setinggan, jauh dari kemewahan tetapi kaya dengan semangat komuniti.
Jalan cerita menjadi semakin kompleks apabila permintaan terakhir seorang tua yang nazak untuk menikmati susu dan buah-buahan tidak kesampaian dipatahkan oleh tindakan tidak dijangka seorang gadis terencat akal bernama Melur.
Konflik ini kemudiannya membuka lembaran demi lembaran kisah silam yang mengaitkan Melur, ibunya dan si tua yang nazak itu, menimbulkan persoalan berkenaan marah, dendam, pengampunan, dan kemanusiaan.
Lenny melahirkan perasaan puas hati terhadap barisan pelakonnya apabila masing-masing membawakan watak dengan baik dan berkesan.
Ia sekali gus memudahkan penonton yang hadir, memahami isi cerita yang ditampilkan.
Barisan pelakon terbabit terdiri daripada Jay Iswazir, Hazzy Alzeeq, Nik Aqil, Nain Hamdan, Adli Shinichi, Farhana Fahizam, Aizy Ezmi dan Azhar Ja’a.
© New Straits Times Press (M) Bhd