khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan mengambil iktibar kelemahan terdahulu Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 1.0 dan 2.0 daripada sudut kos yang menelan belanja tinggi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, PLKN 1.0 dan 2.0 masing-masing secara puratanya mencecah kos RM565 juta dan RM361 juta setahun serta kos per pelatih mencecah RM7,926 dan RM18,084.
“Sebaliknya, PLKN 3.0 lebih cekap dan berhemat dengan anggaran kos RM200 juta untuk 100,000 pelatih atau hanya RM2,000 per pelatih.
“Penjimatan ini dicapai melalui penggunaan fasiliti kerajaan sedia ada, rasionalisasi modul latihan dan sistem pengurusan logistik dan sumber yang lebih cekap,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mengenai laporan PLKN 1.0 dan 2.0 yang menelan dana tinggi, namun kerajaan tetap meneruskan program PLKN 3.0.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, berbeza pendekatan PLKN 1.0 dan 2.0 yang menekankan pencapaian luaran seperti asas disiplin dan kenegaraan dalam tempoh latihan, PLKN 3.0 dibangunkan semula dengan hala tuju strategik.
Menurutnya, PLKN 3.0 lebih fokus dan lestari, iaitu membina kesedaran keselamatan, jati diri nasional dan pembentukan jaringan anggota sukarela pertahanan secara sistematik.
“Dalam erti kata lain, program ini bukan sekadar latihan selama 45 hari, tetapi titik permulaan ke arah pembentukan rakyat yang bersedia untuk mempertahankan negara dalam jangka panjang,” katanya.
Katanya, setiap pelatih PLKN 3.0 berpotensi untuk diserap sebagai anggota sukarelawan Askar Wataniah.
“Ini adalah strategi utama bagi membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencapai sasaran nisbah 1:1 antara anggota tentera tetap dan anggota sokongan awam, sekali gus membina keupayaan pertahanan yang berlapis dan inklusif.
“Kejayaan ini telah mula kelihatan apabila 148 pelatih PLKN 3.0 siri awal telah menyertai Askar Wataniah, selain 40 yang diserap terus ke dalam ATM,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, pihaknya percaya pelaburan dalam PLKN 3.0 adalah satu harga yang berbaloi untuk keamanan dan kestabilan negara.
“PLKN 3.0 ini mungkin berskala kecil, tetapi ia dirancang dengan penuh rapi untuk memberi impak jangka panjang kepada pembangunan modal insan berkualiti tinggi.
“Ia menjadi pelengkap kepada ekosistem pertahanan negara yang inklusif, selaras dengan kerangka Malaysia Madani,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd