am@hmetro.com.my
Seremban: Sebanyak 243 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada penumpang bas ekspres dan persiaran di negeri ini yang enggan menggunakan tali pinggang keledar sepanjang operasi bulan ini.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, saman dikeluarkan ketika pemeriksaan melalui kaedah penyamaran sebagai penumpang, selain pemeriksaan mengejut di kawasan rehat dan rawat (R&R).
“Penguatkuasaan ke atas pemasangan dan kelengkapan tali pinggang keledar bagi bas yang dibina mulai 1 Januari 2020 dan pemakaian tali pinggang keledar terhadap pemandu dan penumpang bas.
“Dalam tempoh 1 Julai hingga 31 Julai, 92 bas dinaiki anggota melakukan penyamaran, manakala pemeriksaan mengejut di R&R dan hentian sebelah Lebuhraya Utara-Selatan mengeluarkan 64 saman kesalahan sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, daripada keseluruhan 243 saman, 72 daripadanya membabitkan pesalah warga tempatan dan 171 kes adalah warga asing.
Hanif Yusabra menasihatkan pemandu dan penumpang kenderaan agar sentiasa mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang keledar bagi tujuan keselamatan bersama.
“Penguatkuasaan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan tahap kesedaran dan pematuhan meningkat dari masa ke semasa,” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
