AKSEM rampas makanan, minuman lebih RM500,000

AKSEM rampas makanan, minuman lebih RM500,000

bhnews@bh.com.my

PADANG BESAR: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Chuping merampas sejumlah produk makanan dan minuman dianggarkan bernilai lebih RM500,000 yang dipercayai berasal dari luar negara, kerana tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM), di sini, semalam.

Rampasan dilakukan selepas anggota AKSEM menahan dua lori membawa muatan produk terbabit, bersama pemandu dan kelindan berusia 19 hingga 29 tahun.

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superintendan Azizan Saman, berkata kejadian itu berlaku jam 12.15 dan 12.20 tengah hari dalam operasi sekatan jalan raya di Kilometer 24, Jalan Ulu Pauh-Padang Besar.

“Anggota menjalankan pemeriksaan terhadap lori berkenaan kemudian menemui pelbagai jenis makanan dan minuman seperti keju, minuman ringan serta minuman kesihatan yang semuanya dipercayai berasal dari luar negara.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati produk makanan dan minuman itu disyaki tidak memiliki kelulusan KKM.

“Kita percaya makanan dan minuman terbabit cuba dibawa ke negara jiran dengan menggunakan lori syarikat ejen ‘forwarding’, untuk pasaran di sana,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, pemandu serta kelindan lori terbabit ditahan untuk membantu siasatan, manakala produk berkenaan dirampas dan diserahkan kepada Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Malaysia KKM Padang Besar bagi tindakan lanjut.

Keseluruhan rampasan termasuk lori, dianggarkan bernilai RM545,053.90, dan kes disiasat mengikut Akta Makanan 1983 (Pelabelan).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top