CelcomDigi perkasa PKS tingkat kemampuan, patuh ESG

CelcomDigi perkasa PKS tingkat kemampuan, patuh ESG
VEEP berjaya menarik penyertaan hampir 100 PKS serta rakan jualan eksklusif daripada lebih 60 syarikat.

VEEP berjaya menarik penyertaan hampir 100 PKS serta rakan jualan eksklusif daripada lebih 60 syarikat.

SHAH ALAM – CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) memperkenalkan Program Pemerkasaan dan Kecemerlangan Vendor (VEEP) untuk memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke arah kelestarian perniagaan serta pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporatnya, Joachim Rajaram berkata, menyokong pertumbuhan PKS yang mewakili lebih 97 peratus daripada lanskap perniagaan negara merupakan komitmen syarikat itu untuk menyediakan rantaian pembekal mampan.

“Dengan lebih 72 peratus daripada rantaian pembekal CelcomDigi terdiri daripada syarikat tempatan, kami melihat peluang jelas untuk memperkasakan lanskap perniagaan bermula dari ekosistem sendiri.

“VEEP adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mempertingkatkan kemampuan PKS tempatan menerusi sokongan bersasar. Kerjasama dengan Capital Markets Malaysia (CMM) merupakan langkah ke arah amalan perniagaan bertanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambahnya, VEEP merupakan inisiatif strategik bagi meningkatkan kemampuan PKS dalam rantaian pembekal melalui pengetahuan praktikal, peralatan sokongan dan akses kepada peluang yang mampu menambah baik standard serta kredibiliti perniagaan mereka.

“Fasa pertama VEEP memberi tumpuan kepada pembinaan asas ESG dalam rantaian pembekal menerusi Panduan Penzahiran ESG Ringkas (SEDG) untuk PKS, dengan kerjasama CMM.

“Modul ini membantu PKS mengamalkan perniagaan bertanggungjawab dan mendedahkan impak ESG dalam operasi mereka, sejajar dengan jangkaan Bursa Malaysia untuk meningkatkan kredibiliti serta membuka peluang pertumbuhan,” ujarnya.

Menurut beliau, CelcomDigi turut berhasrat membina program komprehensif bagi menyokong pertumbuhan dan kelestarian PKS dalam rantaian nilai syarikat tersebut.

“Ia merangkumi usaha memacu pendigitalan, menjalin kerjasama rentas sektor serta memperluas akses kepada peluang perniagaan, pembiayaan dan pengkomersialan.

“VEEP merupakan komitmen jangka panjang CelcomDigi untuk memperkasa PKS menerusi sokongan berstruktur dan kerjasama strategik. Ia meliputi pembangunan kapasiti dan pensijilan, amalan perolehan inklusif serta akses kepada peluang perniagaan,” katanya.

Scroll to Top