Dua warga Turkiye hilang, seorang selamat mahu berlayar keliling benua

Dua warga Turkiye hilang, seorang selamat mahu berlayar keliling benua

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Dua warga Turkiye yang hilang dan seorang terselamat selepas kapal layar dinaiki karam di perairan Pulau Yu di sini, Selasa lalu adalah peserta pelayaran yang merancang mengelilingi benua dari Malaysia ke negara asal.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kapal layar Daisy itu karam akibat dipukul ribut yang menyebabkan kapten, Ahmed Volkan Ata dan penumpang, Eser Demirkol hilang.

Katanya, mangsa terselamat, Ates Demiroren dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Sebelum itu, Ahmed Volkan Ata mengemudi kapal layar berkenaan dari Jackson Port Bay, Sydney, Australia dan berlabuh di Pelabuhan Kuantan, sebagai lokasi berkumpul.

“Dua lagi penumpang masing-masing dari Krabi, Thailand dan Singapura menaiki pengangkutan awam ke Pelabuhan Kuantan bagi memulakan siri jelajah berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Azli berkata, penjelajahan mengelilingi benua bermula kira-kira 5 petang, 28 Julai yang dijadual berakhir di Pelabuhan Istanbul, Turkiye.

Katanya, sebelum itu, Daisy sepatutnya berhenti di check point pertama iaitu di Pelabuhan Pattani, Thailand namun dibadai ribut dan dipercayai karam di perairan Pulau Yu pada 2.30 petang Selasa.

“Hanya Ates Demiroren berjaya menyelamatkan diri dengan terapung di laut, manakala kapten kapal dan seorang lagi penumpang hanyut dibawa arus.

Menurutnya, kira-kira jam 12 tengah hari tadi bot nelayan tempatan yang dalam perjalanan pulang ke pangkalan menjumpai lelaki itu dan membawanya ke Jeti Pulau Duyung sebelum dihantar ke Balai Polis Kuala Terengganu.

Katanya lagi, kejadian sudah dimaklumkan kepada Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Kedutaan Turkiye bagi tindakan lanjut.

“Segala urusan membabitkan warga Turkiye ini akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kedutaan Turkiye dan mangsa terselamat akan dibawa pulang selepas keadaannya bertambah baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top