am@hmetro.com.my
Pelakon popular, Aiman Hakim Ridza, 36, mengakui sangat memilih telefilem atau drama bersiri dalam bidang lakonan ketika ini.
Justeru, tidak hairanlah wajah pelakon kacak yang juga bapa kepada dua anak ini jarang menghiasi kaca televisyen tempatan ketika ini.
Namun, Aiman sukar menolak bila ditawarkan beraksi dalam drama bersiri Bad Cop arahan Jason Chong untuk saluran Astro Originals.
“Sebelum dapat tawaran ini, saya sepatutnya buat projek lain. Tapi, bila dapat skrip ini dan diminta datang untuk ‘casting’ (uji bakat), saya terus putuskan untuk tengok jalan ceritanya dulu.
“Bila dapat tahu pengarahnya adalah Jason, saya sukar menolaknya kerana pernah bekerja dengannya sebelum ini.
“Saya terus terima tawaran bila diberitahu skripnya yang menarik dan mencabar serta barisan pelakon dan pasukan produksi terbabit juga mempunyai semangat yang sama seperti saya,” katanya.
Aiman yang juga pelakon filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa berkata, watak dalam Bad Cop sangat berat dan antara yang paling mencabar kemampuannya setakat ini.
“Watak dalam drama bersiri ini sangat berat kerana saya melakonkan dua watak iaitu pasangan kembar iaitu Emir dan Imar Khalid dalam siri ini.
“Sebaik sahaja saya masuk ke set penggambaran drama bersiri ini, saya demam 10 hari dan tidak boleh tidur hingga terpaksa ambil ubat batuk.
“Malah, ada babak yang buat saya teringat-ingat sampai hampir mengalami kemurungan dan bercakap seorang diri,” katanya.
Aiman berkata, dia juga bersyukur kerana Jason banyak membantunya di lokasi.
“Saya terima tawaran untuk drama bersiri ini kerana skripnya sangat mencabar dan ia membawa sampai ke rumah. Malah, sampai nak tidur pun saya fikir apa yang akan berlaku di set pada keesokannya?
“Saya bukan nak perkecilkan skrip lakonan sebelum ini tapi bila buat skrip yang tak mencabar kita jadi macam masuk dan keluar dari set penggambaran tapi tak bawa apa-apa,” kata suami kepada pelakon jelita, Zahirah Macwilson, 30, itu.
Ditanya penerimaan isterinya pula, kata Aiman, Zahirah banyak memberi sokongan moral padanya dan sama-sama menganggap apa yang dilalui itu adalah proses biasa yang perlu dilalui seorang pelakon.
“Alhamdulillah, Zahirah banyak beri sokongan moral ketika saya melalui proses ‘breakdown’ itu.
“Saya juga pernah bercakap seorang diri dan tidak perasan yang saya sebenarnya sedang bercakap dengannya. Mujur dia memahaminya.
“Pada masa sama, cerita ini berdasarkan pengalaman orang lain dan saya juga tidak percaya ada orang yang pernah melaluinya,” katanya.
Selain Aiman, ia turut menampilkan lakonan Siti Saleha, Tony Eusoff, pelakon Indonesia, Whulandary Herman, Melissa Campbell dan ramai lagi.
Bergilir jaga anak
Aiman dan Zahirah sama-sama menjaga dua anak mereka yang sedang membesar iaitu Isaac Raees, 4 tahun dan Inara Raisa, 1, secara bergilir walaupun ada pembantu di rumah.
Aiman berkata, jika dia terbabit dengan penggambaran, Zahirah yang akan meluangkan masa bersama anak-anak.”Kami putuskan untuk bekerja mengikut giliran bagi pastikan ada masa berkualiti bersama anak-anak.”Zahirah memang tunggu anak kami besar sedikit dan pada masa sama sangat gembira dapat meluangkan masa bersama dengan anak-anak.
“Pada masa sama, dia juga sedang menyiapkan diri untuk projek baru selepas saya selesai penggambaran drama bersiri Bad Cop ini.
“Zahirah juga sama seperti saya memilih naskhah dan sudah sampai satu tahap untuk kembangkan karier,” katanya yang berkahwin dengan Zahirah pada 2020.
© New Straits Times Press (M) Bhd