'Scammer' perdaya RM77.7 juta di Sarawak dalam tempoh 7 bulan

'Scammer' perdaya RM77.7 juta di Sarawak dalam tempoh 7 bulan

am@hmetro.com.my

Kuching: Jumlah kerugian akibat penipuan dalam talian di Sarawak melonjak hampir sekali ganda dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, statistik terkini menunjukkan kerugian keseluruhan mencecah RM77.7 juta setakat ini dengan peningkatan sebanyak 46.88 peratus berbanding RM52.9 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan itu selari dengan pertambahan jumlah kes jenayah komersil, iaitu sebanyak 2,256 kes berbanding hanya 1,398 kes dalam tempoh sama pada 2024, peningkatan lebih 61 peratus.

“Jika trend ini berterusan, kita menjangkakan jumlah kerugian boleh melepasi RM100 juta menjelang hujung tahun. Ini satu perkembangan yang sangat membimbangkan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mancha berkata, scammer kini menggunakan taktik lebih kompleks dan terancang.

“Bukan sahaja pembeli, penjual juga menjadi mangsa, antaranya melalui penggunaan resit palsu serta ugutan bagi menuntut bayaran balik,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa majoriti mangsa berusia antara 30 hingga 40 tahun, diikuti golongan muda 18 hingga 29 tahun dan warga emas.

Menurutnya, antara faktor utama mangsa mudah terpedaya ialah kurang pendedahan kepada modus operandi penipuan, keinginan cepat mendapat keuntungan, serta panik apabila dihubungi pihak yang menyamar sebagai pegawai kerajaan atau penguat kuasa.

“Dalam usaha membanteras jenayah ini, PDRM Sarawak menahan 867 suspek sepanjang separuh pertama tahun ini, dengan 834 individu sudah didakwa di mahkamah.

“Jumlah keldai akaun juga meningkat, daripada 639 orang tahun lalu kepada 832 orang tahun ini.

“Antara kejayaan terbesar termasuk pembongkaran tiga sindiket pusat panggilan di Miri dan Sibu, serta kes penipuan emas dan pembayaran palsu menggunakan kod QR di Padawan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top