mohamadridzuan@hmetro.com.my
KALI terakhir mereka bersatu adalah menerusi Konsert Simfoni Kesyukuran yang turut menampilkan Zizi Kirana di Zepp Kuala Lumpur, pada Disember 2023.
Rabbani yang kini dianggotai Azadan Abdul Aziz, Asri Ubaidullah, Zulkiflee Azman, Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen, Mohamad Afandi Shahbudin dan Ahmad Shafie kini kembali menerusi Konsert Intifada Rabbani.
Konsert anjuran Universe Gateway ini akan berlangsung pada 20 September di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Ia juga bakal melakar sejarah baharu buat Rabbani apabila tampil dengan persembahan solo terbesar selepas hampir tiga dekad dalam industri muzik tanah air.
Azadan berkata, status sebagai kumpulan nasyid terkenal selain Raihan tidak membuatkan mereka tertekan untuk memberi persembahan terbaik kepada peminat.
“Insya-Allah tak tertekan sebab apa, Rabbani dari awal kemunculan lagi. Kita memang kalau tampil dalam satu program besar atau konsert besar, kita memang hidup dalam seni dan budaya Islam itu.
“Makna kita bukan sekadar menyampaikan lagu-lagu mesej itu. tetapi kami memang hidupkan dalam kreativiti persembahan itu.
“Dari sudut pakaian, memang kami sangat mengutamakan. Alhamdulillah, kita satu kumpulan yang dah biasa. Mereka akan ikut saja. Bagi saya tak ada masalah,” katanya.
Bagaimanapun, Azadan tidak menyembunyikan kerisauan dari segi vokal kerana lagu-lagu mereka kebanyakannya bernada tinggi.
“Sebab Rabbani, lagu-lagunya, temponya memang mencabar sikit. Jadi kita sangat menjaga yang itu.
Kadang-kadang saya ini orang yang ringkas saja tapi mereka tak.
“Mereka sangat jaga. Tak boleh, kalau mereka kata tak nak, saya kena ikut mereka. Untuk persiapan pula, kita akan pilih lagu yang akan dipersembahkan nanti.
“Latihan vokal pun, kita bukan sekadar berlatih macam itu. Dengan mikrofon dan sistem bunyi. Kita akan ada studio untuk latihan,” katanya.
Menyentuh berkenaan guru vokal pula, Azadan berkata, buat masa ini mereka akan bergantung kepada kawan-kawan yang akan memberi nasihat kepada mereka.
“Lagipun dalam Rabbani, Ustaz Asri Ubaidullah, Luqman Abdul Aziz semua ini guru-guru. Mungkin kita akan kreatifkan dalam persembahan menerusi susunan muzik dan lagu.
“Berkenaan tiket pula, kita serah kepada penganjur kerana kita percaya dengan pengurusan, Universe Gateway.”Mereka ada pengalaman anjurkan konsert besar seperti Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza, artis dari Indonesia dan sebagainya,” katanya.
Melihatkan kepada kebangkitan kumpulan nasyid, mereka mengharapkan sambutan peminat, positif terhadap konsert ini.
“Dengan pengalaman yang lepas-lepas itu, jadikan kami lebih berhati-hati. Bukan berhati-hati macam mana.
“Kita lebih bersistemlah. Dan apa yang kita nak buat terancang dan terlaksana dengan baik,” kata Azadan lagi.
Selain Rabbani, konsert ini akan menampilkan penyanyi jemputan iaitu kumpulan Brothers, Yabang dan Aeydan.
Tiket mula dijual secara rasmi bermula pada 31 Julai lalu dan dijangka habis terjual dalam masa yang singkat.
Peminat dinasihatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal agar tidak kecewa dan dapat menyertai konsert yang dinanti-nantikan peminat nasyid Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




