“Dah Sampai Masa Tutup Buku Bab Ini- ” – Saingan Sengit, Che Nom Undur Diri Dari Dunia Influencer

“Dah Sampai Masa Tutup Buku Bab Ini- ” – Saingan Sengit, Che Nom Undur Diri Dari Dunia Influencer

Selepas lebih 10 tahun mencipta nama sebagai antara wajah paling dikenali dalam dunia masakan digital tempatan, pencipta kandungan popular, Che Nom, membuat keputusan mengejutkan apabila mengumumkan pengunduran dirinya daripada dunia influencer marketing.

Perkongsian penuh emosi itu dikongsi sendiri oleh Che Nom atau nama sebenarnya Normah Bakar, 43, menerusi satu hantaran di Facebook miliknya baru-baru ini.

“Dengan itu, Che Nom nak umumkan, Che Nom akan berhenti dari influencer marketing. Dah sampai masa untuk tutup buku bab ini,” tulisnya.

Dalam coretan tersebut, Che Nom turut mendedahkan beberapa sebab utama di sebalik keputusan besar itu, sambil menitipkan nasihat penuh kejujuran buat generasi baharu yang ingin menceburi bidang pencipta kandungan.

Menurutnya, dunia influencer hari ini jauh lebih mencabar berbanding dahulu. Persaingan semakin sengit, manakala isu ‘price war’ dalam kalangan pencipta kandungan turut menjejaskan kualiti kerja secara keseluruhan.

“Ramai ingat jadi influencer senang. Tapi realitinya, makin lama makin perit. Terlalu ramai sekarang. Berlaku price war, semua turunkan harga semata-mata nak dapat job. Tapi bila harga makin rendah, kualiti pun merosot,” katanya.

Che Nom juga menyentuh isu etika yang menjelaskan sebahagian klien dari syarikat besar antarabangsa mempunyai latar belakang yang meragukan dan tidak selari dengan nilai peribadi.

‘Klien yang bayar tinggi biasanya syarikat besar luar negara. Tapi ada yang ada isu yang berat untuk kita nak sokong,” luahnya.

Tambah Che Nom, beban kerja sebenar sebagai pencipta kandungan bukan hanya tentang ‘review’ atau ‘viral’, sebaliknya penuh dengan tekanan dan keperluan profesionalisme tinggi.

“Nak siapkan video untuk klien bukan senang. Kena ikut brief, edit banyak kali, kejar deadline. Semua tu perlukan pengalaman dan disiplin kerja sebenar. Bukan cukup dengan minat sahaja,” jelasnya lagi.

Di akhir perkongsiannya, Che Nom menasihati generasi muda agar tidak melihat dunia media sosial dan influencer sebagai jalan singkat untuk mencari rezeki.

“Belajar rajin-rajin dulu. Kerja dulu di tempat yang ada sistem dan disiplin. Jangan terus ke dunia influencer kalau tiada asas. Tanpa pengalaman, tekanan tu boleh jadi beban,” pesannya.

Scroll to Top