Malaysia menyatakan komitmen untuk membantu menyokong proses damai antara Thailand dan Kemboja secara neutral, selaras dengan nilai dan semangat ASEAN.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat trilateral secara persidangan video petang tadi bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Narkphanit.
Turut serta dalam mesyuarat itu ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Mohd Jaffar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Mohd Yani Daud.
Malaysia pacu rundingan damai Thailand- Kemboja
Mesyuarat berkenaan merupakan langkah persediaan menjelang Mesyuarat General Border Committee (GBC) antara Kemboja dan Thailand yang dijadualkan berlangsung pada 7 Ogos ini di Kuala Lumpur.
“Dengan semangat ASEAN, Malaysia komited sepenuhnya untuk menyokong proses penyelesaian yang dipimpin oleh ASEAN secara aman, selaras dengan nilai-nilai serantau yang kita kongsi bersama,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Artikel lain: Usaha PM Anwar berhasil, Thailand & Kemboja setuju capai titik damai
Menurut beliau, mesyuarat GBC pada 7 Ogos nanti akan turut disertai pemerhati daripada Malaysia, Amerika Syarikat dan Republik Rakyat China.
Sebelum itu, wakil kedua-dua negara akan mengadakan mesyuarat awal dari 4 hingga 6 Ogos.
“Perbincangan ini menggambarkan komitmen pihak-pihak untuk berunding secara aman dan dialog yang konstruktif. Semoga ia menyumbang ke arah tanggungjawab bersama kita untuk memelihara keamanan dan kestabilan di rantau ASEAN.
“Malaysia bersedia untuk memastikan kelancaran dan menyokong setiap langkah proses aman ini secara neutral,” katanya lagi.
Sumber: FB Khaled Nordin