Kejayaan kurangkan tarif AS bukti Malaysia perlu pimpinan mampu kendali hal antarabangsa – PM

Kejayaan kurangkan tarif AS bukti Malaysia perlu pimpinan mampu kendali hal antarabangsa – PM

zanariah_mutalib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kejayaan Malaysia mengurangkan tarif timbal balas yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport Malaysia daripada 25 kepada 19 peratus membuktikan Malaysia memerlukan pimpinan yang berupaya untuk mengendalikan bukan saja hal dalam negara tetapi juga antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tarif sebanyak 25 peratus yang ditetapkan sebelum ini, jika dilaksanakan memberi kesan besar kepada ekonomi negara, terutama eksport bagi produk semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E) ke AS yang mencecah 60 peratus, dengan nilai RM200 bilion setahun, bagaimanapun produk berkenaan dikecualikan daripada dikenakan tarif.

“Ada orang tanya, apa kaitan dengan AS? Kaitannya nak selamatkan puluhan pekerja kita, nak dapatkan habuan serta hasil percukaian yang tinggi supaya boleh dipulangkan kepada rakyat.

“Nak bercakap boleh, nak kritik boleh tapi mesti ingat, kita ada tanggungjawab untuk mengangkat martabat negara ini sebagai negara yang hebat, kita ada tanggungjawab dan amanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 di sini, hari ini.

Malaysia dikenakan tarif timbal balas sebanyak 19 peratus berdasarkan perintah eksekutif yang ditandatangani Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 31 Julai 2025.

Sebelum ini, Trump menetapkan kadar tarif 25 peratus untuk Malaysia, namun perbualan telefon antara beliau dan Anwar pada awal Khamis lalu dikatakan menjadi antara faktor yang mendorong pengurangan tarif itu.

Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, memaklumkan Malaysia bersetuju menurunkan kadar tarif kepada sifar bagi 6,911 daripada 11,260 baris tarif atau produk yang diminta AS, bersamaan 61 peratus, dalam rundingan timbal balas dengan negara itu.

Katanya, langkah itu adalah sebahagian usaha memperkukuh akses pasaran serta menggalakkan aliran dagangan dua hala yang lebih terbuka antara kedua-dua negara.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top