New York: Momentum untuk lebih banyak negara mengiktiraf Palestin semakin meningkat selepas Perancis menyatakan akan berbuat demikian pada September ini.
United Kingdom (UK) sudah memberi bayangan akan mengambil langkah sama di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekiranya Israel tidak mengambil langkah bagi meredakan krisis Gaza dan mencapai perdamaian.
Apa status semasa Palestin di PBB?
Ketika ini, Pihak Berkuasa Palestin yang mewakili rakyat Palestin di PBB dikenali secara rasmi sebagai Negara Palestin.
Namun, ia bukan ahli penuh dan tidak mempunyai hak mengundi dalam Perhimpunan Agung PBB yang dianggotai 193 negara.
Pada 2012, Perhimpunan Agung meluluskan pengiktirafan ‘de facto’ terhadap Palestin apabila menaik taraf statusnya kepada ‘negara pemerhati bukan ahli’ daripada sebelumnya hanya ‘entiti’.
Ketika itu, seramai 138 negara menyokong, sembilan menolak dan 41 berkecuali terhadap keputusan berkenaan.
Apa yang berlaku pada tahun lalu?
Pada Mei 2024, Perhimpunan Agung PBB menyokong permohonan Palestin untuk menjadi ahli penuh dengan mengiktiraf kelayakan mereka menyertai PBB.
Resolusi itu turut mengesyorkan Majlis Keselamatan PBB mempertimbangkan semula permohonan itu secara positif.
Ia juga memberikan hak dan keistimewaan tambahan kepada Palestin mulai September 2024, termasuk tempat duduk bersama negara ahli lain di dewan persidangan.
Undian Mei oleh Perhimpunan Agung PBB menunjukkan sokongan global terhadap perjuangan Palestin menjadi ahli penuh – satu langkah yang akan mengiktiraf negara Palestin secara berkesan. Ia walaupun selepas Amerika Syarikat (AS) memveto langkah itu dalam Majlis Keselamatan pada April 2024.
Namun begitu, Palestin masih kekal sebagai negara pemerhati bukan ahli kerana Majlis Keselamatan yang mempunyai 15 anggota belum mengambil tindakan lanjut terhadap syor Perhimpunan Agung.
Bagaimanakah PBB mengiktiraf negara ahli baharu?
Mengikut prosedur, sesebuah negara perlu memohon kepada Setiausaha Agung PBB sebelum ia dinilai dan dibawa ke Majlis Keselamatan.
Permohonan itu hanya diluluskan jika mendapat sekurang-kurangnya sembilan undi tanpa sebarang veto daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan. AS antara lima ahli tetap Majlis itu.
Jika lulus, ia akan dibawa ke Perhimpunan Agung PBB dan memerlukan sokongan dua pertiga undi untuk diterima sebagai ahli penuh.
Setakat ini, lebih 140 daripada 193 negara anggota PBB mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




