Miami: Bintang sensasi Argentina, Lionel Messi terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-11 selepas mengalami kecederaan ketika membantu Inter Miami dalam aksi Piala Liga menentang Necaxa di Stadium Chase, awal pagi tadi.
Messi, 38, dilihat menerima rawatan pada bahagian paha atau pangkal paha kanannya sebelum berjalan keluar padang ke bilik persalinan dengan sendiri.
Insiden bermula apabila Messi yang membawa bola cuba melepasi benteng pertahanan Necaxa, namun tersadung di luar kotak penalti sebelum berlanggar dengan pertahanan Alexis Pena.
Messi terjatuh dan kelihatan kecewa sambil menumbuk padang selepas bola dibuang jauh oleh lawan.
Beberapa saat kemudian, kapten Inter Miami itu kelihatan berseorangan di kawasan tengah padang di sayap kiri sebelum rebah dalam keadaan duduk dan sempat baring seketika sebelum pegawai perubatan bergegas ke arahnya.
Pengurus Inter Miami, Javier Mascherano pantas memasukkan Federico Redondo bagi menggantikan Messi.
Pada kempen kelayakan Piala Dunia bersama Argentina Mac lalu, Messi turut berdepan isu kecederaan di bahagian paha yang menjejaskan aksinya.
Musim ini, Messi sudah menyumbang 18 gol dan sembilan bantuan jaringan dalam 18 penampilan MLS.
Dia juga memainkan peranan penting pada perlawanan pertama Inter Miami dalam Piala Liga minggu ini apabila mencipta dua bantuan gol dalam kemenangan 2-1 ke atas Atlas.
Inter Miami akan melengkapkan aksi peringkat kumpulan menentang Pumas pada Rabu ini.
Messi sebelum ini mengetuai Inter Miami muncul juara edisi sulung Piala Liga pada 2023, sejurus selepas menyertai kelab MLS itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd