
Suami ugut isteri selepas terbongkar curang.
(Foto tular/media tempatan China)
NANNING – Seorang lelaki di China tergamak mengeluarkan ugutan kasar terhadap isterinya selepas perbuatan curangnya terbongkar.
Kejadian dikatakan berlaku pada 19 Julai lalu di sebuah persimpangan berhampiran Tasik Tangbei, Xixiang, Nanning, wilayah Guangxi.
Dalam kejadian sekitar jam tengah hari itu, suasana di lokasi menjadi kecoh apabila puluhan kenderaan mengelilingi sebuah kereta putih menyebabkan orang ramai menyangka ia merupakan kejadian luar biasa atau penggambaran.
Bagaimanapun suasana sebenar terbongkar apabila seorang wanita bertindak menahan kereta suaminya yang didakwa membawa seorang wanita lain dalam kenderaan tersebut.
Menurut saksi, wanita tersebut ketika itu sedang menunggang motosikal elektrik bersama anak lelaki mereka dalam perjalanan ke pasar untuk membeli sayur sebelum terserempak dengan kereta suaminya.
Pertengkaran tercetus di lokasi apabila si suami enggan keluar dari kereta dan mula menunjukkan sikap kasar terhadap isterinya.

Situasi di lokasi kejadian yang turut tular.
(Foto tular)
“Aku dah cukup sabar dengan kau. Jangan cabar. Aku akan pukul kau sampai tak boleh bangun,” kata suaminya seperti dirakam dalam video yang kini tular di media sosial.
Rakaman tersebut turut menunjukkan anak mereka berada di lokasi dalam keadaan bingung dan ketakutan manakala isterinya kelihatan cuba menahan emosi di khalayak ramai.
Insiden berkenaan menerima pelbagai reaksi netizen yang rata-rata mengecam tindakan kasar lelaki terbabit dan menyuarakan simpati terhadap wanita berkenaan yang cuba mempertahankan rumah tangganya di hadapan anak kecil mereka.