Junta Myanmar serang kawasan lombong, 13 terbunuh

Junta Myanmar serang kawasan lombong, 13 terbunuh

Yangon: Serangan udara oleh junta Myanmar di sebuah kawasan perlombongan delima yang dikuasai pemberontak membunuh 13 orang pada Sabtu.

Menurut seorang penduduk tempatan yang enggan dinamakan atas faktor keselamatan berkata, serangan itu berlaku sekitar jam 8.15 pagi mengorbankan tujuh orang di tempat kejadian manakala enam lagi meninggal dunia kemudian akibat kecederaan.

Katanya, antara yang maut ialah seorang sami Buddha yang sedang menerima sedekah dan seorang bapa serta anak lelakinya yang menunggang motosikal yang sama

“Sebuah kereta yang melalui kawasan itu turut terkena serangan. Tujuh orang cedera termasuk pemandu,” katanya.

Perang saudara melanda Myanmar sejak tentera merampas kuasa dalam rampasan kuasa 2021 mencetuskan penentangan daripada gerila pro-demokrasi yang bekerjasama dengan kumpulan bersenjata etnik yang lama aktif.

Pasukan mereka yang bertaburan pada mulanya bergelut untuk mencapai kemajuan tetapi serangan gabungan yang bermula pada akhir 2023 berjaya menawan sebahagian besar wilayah termasuk Bandar Mogok yang menjadi pusat perdagangan delima.

Myanmar kaya dengan batu permata dan unsur nadir bumi yang menjadi rebutan semua puak dan dijual kebanyakannya kepada negara jiran China untuk menambah dana perang.

Jurucakap junta tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Seorang jurucakap wanita untuk Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta’ang (TNLA) yang menduduki Mogok sejak musim panas 2024 mengesahkan jumlah kematian itu tetapi memberikan angka 14 orang cedera.

“Serangan udara itu berlaku pada waktu pagi di kawasan awam. Terdapat ramai orang berjalan di jalan raya, oleh sebab itu ramai yang terbunuh,” kata jurucakap Lway Yay Oo.

Pihak tentera pada mulanya terkesan dengan serangan gabungan pemberontak tetapi melaksanakan kerahan tenaga untuk menambah jumlah anggotanya.

Pasukan tenteranya baru-baru ini menawan semula beberapa penempatan penting di tengah Myanmar termasuk hab perlombongan emas di Thabeikkyin yang dirampas pada akhir Julai selepas pertempuran selama setahun.

Pada 31 Julai, junta menamatkan darurat yang diisytiharkan selepas menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi lebih empat tahun lalu dan mencadangkan pilihan raya pada Disember sebagai jalan keluar daripada konflik itu.

Bagaimanapun, dengan Suu Kyi masih dipenjarakan, kumpulan pembangkang termasuk ahli parlimen yang digulingkan, memboikot pilihan raya itu.

Seorang pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jun menyifatkan proses itu sebagai satu ‘penipuan’ yang direka untuk menghalalkan pemerintahan berterusan junta.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top