Arsenal tunggu saat sesuai kemuka bidaan terhadap Eze

Arsenal tunggu saat sesuai kemuka bidaan terhadap Eze

London: Arsenal tidak mengaktifkan klausa pelepasan bernilai £68 juta (RM416 juta) milik bintang Crystal Palace, Eberechi Eze sebelum tamat tempoh tengah malam Jumaat lalu, namun masih berhasrat membawa pemain itu ke Emirates.

Menurut laporan TalkSport menerusi wartawan Ben Jacobs, The Gunners yakin mereka boleh mendapatkan pemain sayap England itu dengan harga lebih rendah sebelum jendela perpindahan ditutup.

“Klausa pelepasan Eze tamat pada tengah malam menuju Sabtu kerana ia ditetapkan dua minggu sebelum Liga Perdana Inggeris (EPL) bermula. Arsenal sudah maklumkan kepada Palace mereka tidak mahu mengaktifkannya sekarang.

“Mereka dijangka akan buat bidaan bawah nilai klausa itu dan segala-galanya kini bergantung kepada Palace, sama ada menutup pintu perpindahan atau melayan tawaran lebih rendah,” katanya.

Difahamkan, Arsenal percaya bidaan sekitar £55 juta (RM336 juta) boleh menjadi nilai kompetitif memandangkan Eze hanya berbaki dua tahun kontrak di Selhurst Park.

Bagaimanapun, perpindahan Eze boleh menjadi rumit sekiranya pertahanan Marc Guehi terlebih dahulu dijual, dengan Liverpool dikaitkan dengan pemain itu.

Jika itu berlaku, Palace dijangka menolak sebarang pendekatan terhadap Eze bagi mengelak kehilangan dua tonggak utama serentak.

Sementara itu, pengendali Palace, Oliver Glasner secara terbuka meluahkan rasa kecewa dengan perkembangan skuad musim panas ini dan kehilangan Eze pasti akan memburukkan lagi keadaan.

Apa pun, sumber rapat memaklumkan Eze terbuka dan berminat menyertai Arsenal, namun masa akan menentukan sama ada perpindahan itu menjadi kenyataan atau tidak.

Arsenal ketika ini berada di London Utara dan sedang mempersiapkan diri untuk aksi pramusim menentang Villarreal selepas menamatkan jelajah Asia baru-baru ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top