Menyanjung bakti wira negara

Menyanjung bakti wira negara

Negara bangsa yang merdeka dan berdaulat tidak terbina dalam tempoh sesingkat satu malam. Kedaulatan sesebuah negara tidak berdiri hanya atas perlembagaan dan pentadbiran, tetapi berasaskan pengorbanan darah serta air mata wira yang sanggup menyerahkan seluruh hayat demi keamanan dan keselamatan rakyat.

Sambutan Hari Pahlawan yang diraikan setiap 31 Julai mengangkat penghargaan terhadap jasa bakti anggota keselamatan negara yang mempertahankan tanah air daripada sebarang ancaman.

Semangat perjuangan itu selaras dengan prinsip Islam yang mengiktiraf jihad mempertahankan negara sebagai satu kewajipan besar dan kedudukan mulia di sisi Allah SWT.

Sejarah mengingatkan pengisytiharan tamat darurat pada 31 Julai 1960 selepas lebih 12 tahun negara bergelut menentang ancaman komunis dan keganasan bersenjata. Darurat yang bermula sejak 16 Jun 1948 menyaksikan korban nyawa, kehancuran harta benda dan penderitaan yang meresahkan rakyat.

Anggota tentera dan polis berada di barisan hadapan melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah, berkorban demi keselamatan dan kestabilan negara. Ramai yang tercedera, ramai juga gugur syahid, meninggalkan balu, anak dan keluarga yang hilang tempat bergantung.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidaklah sama keadaan orang yang duduk (tidak pergi berperang) dalam kalangan orang beriman melainkan mereka yang mempunyai keuzuran dengan orang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka. Allah melebihkan orang berjihad dengan harta dan jiwa berbanding orang yang duduk dengan kelebihan satu darjat. Kepada tiap-tiap satu (golongan) Allah menjanjikan balasan yang baik. Dan Allah melebihkan orang berjihad berbanding orang yang duduk dengan pahala amat besar”. (Surah an-Nisa’ ayat 95)

Ayat ini menjadi bukti bahawa pengorbanan mempertahankan agama, bangsa dan tanah air suatu jihad yang besar ganjarannya di sisi Allah SWT.

Kelebihan berjuang di medan jihad meletakkan seseorang pada kedudukan yang tinggi serta dijanjikan balasan syurga oleh Allah SWT.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Menjaga sempadan negara sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa dan solat malam sebulan penuh. Apabila penjaga tersebut meninggal dunia (ketika bertugas), dia akan terus diberikan pahala atas amalan yang biasa dilakukannya sebagaimana dia terus dikurniakan rezeki dan kenyamanan daripada segala pengganggu (azab kubur)”. (Hadis Riwayat Muslim)

Pengiktirafan ini menunjukkan betapa besar ganjaran kepada golongan yang bertugas mempertahankan negara, sama ada di medan perang, sempadan, udara, perairan, mahupun di jalan raya atau kawasan awam demi menjamin kestabilan dan kemakmuran negara.

Realiti semasa menyaksikan pasukan keselamatan seperti Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia serta Polis Diraja Malaysia, terus kekal berkhidmat dengan penuh disiplin dan komitmen.

Meski terpaksa berjauhan daripada keluarga, terdedah kepada bahaya serta menghadapi cuaca ekstrem di pergunungan, hutan dan laut, namun tetap teguh menjalankan amanah. Semangat ini menjadikan mereka wira bangsa sejati dan wira negara hakiki.

Kesejahteraan dan kemakmuran yang dinikmati membolehkan kehidupan seharian berjalan lancar.

Semua itu hasil titik peluh anggota keselamatan yang bertugas siang malam, termasuk ketika umat Islam menyambut perayaan dan cuti umum.

Ketika rakyat bergembira, wira negara berjaga di sempadan dan pos kawalan, mengawal lalu lintas, menjaga keselamatan tempat ibadah dam menyelia kawasan berisiko tinggi daripada jenayah atau ancaman.

Ancaman keselamatan negara kini bukan hanya berbentuk serangan fizikal, tetapi turut melibatkan jenayah terancang, penyeludupan, pemerdagangan manusia, ekstremisme agama, rusuhan awam, penularan hasutan dalam media sosial dan ketegangan hubungan antara kaum.

Semua ini menuntut kesiapsiagaan tinggi serta kefahaman mendalam terhadap semangat jihad dan amanah yang digariskan oleh Islam.

Pengorbanan mereka bukan sahaja wajib dihargai oleh pemerintah, bahkan seluruh warganegara. Saranan menghargai jasa wira negara perlu dizahirkan melalui beberapa tindakan konkrit.

Pertama, pengiktirafan terhadap tugas anggota keselamatan sebagai fardu kifayah yang mulia dan dijanjikan ganjaran dunia serta akhirat. Masyarakat perlu sentiasa menyokong dan memartabatkan peranan mereka dalam kehidupan bernegara.

Kedua, penghargaan terhadap jasa bakti wira bangsa hendaklah diterjemahkan dalam bentuk sokongan moral, bantuan fizikal dan kewangan terutama kepada mereka yang bersara, cacat akibat kecederaan ketika bertugas atau kehilangan anggota badan.

Ahli keluarga seperti balu, anak yatim dan ibu bapa yang kehilangan insan tersayang juga perlu disantuni serta tidak dibiarkan menanggung penderitaan bersendirian.

Ketiga, masyarakat perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan, keselamatan dan keberkatan hidup anggota keselamatan yang masih bertugas. Doa menjadi tanda ingatan dan kasih terhadap pengorbanan yang tidak terbalas dengan harta atau pujian semata-mata.

Keempat, sokongan terhadap inisiatif murni seperti Tabung Pahlawan perlu diperluaskan. Pihak masjid dan surau turut disarankan untuk menyumbang sebahagian kutipan tabung mingguan atau bulanan ke tabung ini sebagai tanda solidariti ummah kepada pejuang negara.

Sumbangan boleh diperluas kepada program kebajikan dan latihan kemahiran bagi anggota yang bersara agar terus dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

Penghargaan turut wajar diberikan kepada agensi pelengkap keselamatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), serta unit keselamatan institusi pendidikan, kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Wira negara menjadi barisan hadapan ketika berlaku bencana alam, krisis kesihatan awam dan pelbagai insiden kecemasan. Kerjasama erat antara pasukan keselamatan rasmi dan badan sukarela memperkukuh kesiapsiagaan negara menangani sebarang cabaran.

Islam menuntut umatnya bersyukur terhadap nikmat keamanan dan kestabilan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan rumah ini (Kaabah) yang memberi makanan kepada mereka menghilangkan lapar dan mengamankan mereka daripada ketakutan”. (Surah Quraisy ayat 3 hingga 4)

Keamanan asas kehidupan yang sejahtera. Tanpa keamanan, segala bentuk ibadah, pendidikan, perniagaan dan kemajuan negara tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Justeru, mempertahankan keamanan bermaksud menjaga nikmat terbesar selepas iman.

Sambutan Hari Pahlawan bukan sekadar acara tahunan, tetapi medan memperbaharui azam dan tekad untuk terus menyanjung tinggi pengorbanan wira negara.

Generasi muda wajar dididik untuk mengenali tokoh keselamatan, menghayati perjuangan wira negara dan menyemai semangat patriotik yang berasaskan nilai Islam.

Pendidikan sejarah perjuangan bangsa mesti dicerakinkan bersama prinsip akidah dan jihad yang sahih agar kefahaman terhadap erti sebenar pengorbanan tidak terpesong oleh ideologi ekstrem atau fahaman radikal.

Kesedaran terhadap nilai bakti dan pengorbanan ini bakal melahirkan generasi yang bukan sahaja patriotik, malah bertakwa dan bertanggungjawab terhadap negara.

Masyarakat yang menghargai pengorbanan itu akan sentiasa berusaha memelihara keamanan, menjauhi konflik, menyebarkan kasih sayang serta mendukung keadilan dan kesejahteraan untuk semua.

Penulis Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) & Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top