Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my
FOTO Najmi Nor’azam
Johor Bahru: Sebanyak 1,489 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap kenderaan Singapura yang dikesan tidak memasang dan mengaktifkan tag RFID Permit Kemasukan Kenderaan (VEP).
Semua saman itu dikeluarkan bermula 1 Julai lalu sehingga kelmarin, ketika JPJ melaksanakan Operasi Penguatkuasaan VEP ke atas kenderaan asing di sempadan darat Malaysia-Singapura.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sepanjang tempoh itu, jumlah saman yang berjaya dikutip bernilai RM445,800, manakala 14,379 kenderaan Singapura diperiksa di luar kedua-dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta sekitar daerah ini.
“Malam ini sahaja (malam tadi), sebanyak 15 saman kita telah keluarkan terhadap kenderaan Singapura yang masuk ke Malaysia tanpa memasang dan mengaktifkan Tag RFID VEP.
“Setakat ini, dalam 1,489 pemilik atau pemandu kenderaan yang kita saman, rata-rata memberi alasan hampir sama iaitu tidak tahu bahawa kerajaan Malaysia sudah menjalankan penguatkuasaan, sebaliknya ingat kita masih di dalam tindakan advokasi.
“Kita tidak berkompromi dan tidak akan beri amaran lagi, sebaliknya terus mengeluarkan saman serta-merta, malah mereka yang disaman juga perlu menjelaskan saman mereka serta-merta,” katanya pada sidang media selepas turut serta dalam Operasi Penguatkuasaan VEP di susur keluar BSI di sini, malam tadi.
Menurut Muhammad Kifli, hampir 90 peratus kenderaan persendirian bernombor pendaftaran Singapura telah memiliki VEP dengan memasang dan mengaktifkannya, malah sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 277,930 tag RFID VEP sudah dikeluarkan.
“Dalam semua saman yang dikeluarkan, hanya terdapat seorang sahaja yang tidak memberi kerjasama pada awalnya, namun apabila kita ingin menyita kenderaannya, akhirnya dia akur dan terus menjelaskan saman dan kemudian mendaftar VEP,” jelasnya.
Menurutnya lagi, penguatkuasaan itu akan diteruskan sehingga ke satu tarikh yang ditetapkan kemudian, malah mengingatkan warga republik itu supaya mendaftar, memasang dan mengaktifkan RFID VEP masing-masing bagi mengelak kesulitan.
“Adalah menjadi satu kesalahan pada mana-mana orang yang memandu kenderaan asing tanpa permit sebelum memasuki atau berada di Malaysia, selaras dengan Seksyen 66H(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman saman maksimum RM300,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd