Pelakon dan penyanyi cantik, Daiyan Trisha melakar kejayaan manis apabila diumumkan sebagai penerima Ultimate Award Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) dalam acara penuh gemerlapan yang berlangsung di Dewan Putra, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan disiarkan secara langsung menerusi TV3, malam tadi.
Selain merangkul trofi utama, Daiyan turut membawa pulang trofi bagi kategori Selebriti Stailo Terhangat, sekali gus mengukuhkan posisinya sebagai antara artis berpengaruh masa kini.
Bagaimanapun, di sebalik kejayaan tersebut, Daiyan tidak terlepas daripada kecaman terutama berkaitan penampilannya yang sering dianggap seksi oleh sesetengah pihak.
Meskipun begitu, sokongan peminat tetap tidak berbelah bahagi merupakan sesuatu yang cukup dihargai oleh pelantun lagu Penat itu.
“Saya bersyukur dan terharu, peminat faham personaliti saya bagaimana. Biarpun ada kontroversi, peminat selalu memberikan sokongan. Mereka memahami saya,” katanya.
Daiyan berkongsi perkara itu kepada XTRA pada sesi sidang media AMT 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.
Menjawab mengenai kecaman yang acap kali diterimanya di media sosial, pelakon filem Sumpahan Jerunei ini mengaku sudah terbiasa dan tidak mudah goyah.
“Saya rasa dah biasa (kena kecam). Saya terima semuanya kerana saya faham, saya kena hadap semua itu sebagai anak seni. Apa yang kita buat, betul atau salah, semua ada persepsi masing-masing,” ujarnya.
Namun begitu, Daiyan tidak menafikan kontroversi tetap memberi kesan kepadanya secara peribadi, biarpun dia sentiasa berusaha mengatasinya dengan profesional.
“Ya, ada kerana saya juga manusia biasa. Cuma saya dah belajar untuk meletakkan perkara itu ke tepi dan terus fokus kepada kerjaya saya,” katanya.
Sekadar info, anugerah tertinggi AMT 2025 itu merupakan pengiktirafan terhadap figura yang memberi impak besar menerusi pengaruh positif, momen tular, serta sokongan dan interaksi masyarakat sepanjang tahun.




