Ada Pihak Sengaja Cuba Calarkan Nama Baik? Fattah Amin Serah Pada Pihak Pengurusan, Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang

Ada Pihak Sengaja Cuba Calarkan Nama Baik? Fattah Amin Serah Pada Pihak Pengurusan, Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang

Pelakon popular Fattah Amin sekali lagi menjadi perhatian apabila namanya dipetik dalam isu viral melibatkan perkahwinan pasangan pempengaruh, baru-baru ini sehingga ramai warganet yang membuat andaian dan tuduhan di laman sosial.

Menyedari perkara tersebut semakin tular, Fattah yang meraih trofi Selebriti Maskulin Terhangat di Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) malam tadi memilih untuk tidak melatah, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan dan saluran undang-undang.

Mengulas perkara itu, Fattah mendedahkan dia sendiri pada awalnya tidak menyedari isu berkenaan, namun dimaklumkan oleh pihak pengurusannya yang turut menerima maklumat daripada peminat yang prihatin.

“Sebenarnya saya pun tak perasan dengan isu tersebut, pihak pengurusan saya yang ambil maklum mengenai perkara terbabit. Ada peminat yang prihatin juga memanjangkan perkara itu. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang ambil perhatian mengenai perkara ini.

“Apa yang saya boleh katakan, perkara yang tak elok, perkara yang fitnah, itu pihak pengurusan saya akan ambil tindakan, jika perlu memang kita akan gunakan landasan undang-undang.

“Perkara itu sedang diuruskan oleh pihak pengurusan saya dan tindakan undang-undang diambil kepada sesiapa yang menyebarkan fitnah, daripada fitnah itu boleh jatuh kepada perkara-perkara yang lebih teruk dan selepas itu timbul cerita yang tak betul. Jadi, perkara itu telah diambil tindakan oleh pihak pengurusan dan peguam saya,” kata bapa kepada seorang cahaya mata perempuan ini.

Fattah berkongsi perkara itu kepada XTRA pada sesi sidang media AMT 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.

Ditanya sama ada isu yang tular itu memberi kesan kepada dirinya secara peribadi atau profesional, pelakon drama bersiri Lelaki Melayu Terakhir itu menyerahkan penilaian tersebut kepada pihak yang menguruskan kerjaya seninya.

“Saya akan terus bekerja untuk peminat dan klien saya. Sama ada ia beri kesan atau tidak, saya harus tanya kepada pihak pengurusan saya. Jika pihak pengurusan rasakan perkara terbabit boleh memberikan kesan kepada karier saya, tindakan undang-undang bakal diambil,” katanya.

Mengaku ada pihak tertentu yang mungkin sengaja mahu mencalarkan namanya, Fattah tidak gentar dan percaya pada sistem keadilan negara.

“Daripada apa yang diberitahu oleh pihak pengurusan saya, ya, memang ada segelintir segelintir (pihak yang sengaja calarkan imej). Tapi saya tak takut kerana negara kita ada undang-undang,” katanya.

Fattah turut ditanya sama ada dia kesal apabila isu terbabit diperkatakan.

Secara terbuka, penyanyi lagu Wanita Terakhir itu menganggap ia sebagai sebahagian daripada lumrah kehidupan seorang anak seni.

“Saya rasa ini lumrah, kita sebagai anak seni, takkan terlepas daripada perkara gosip dan kontroversi. Tak boleh nak harap dalam masa 10 ke 15 tahun semuanya positif dan baik-baik.

“Ada juga perkara sebegini. Kadang-kadang tak semua orang senang tengok kita, melihat kejayaan kita. Tapi apa yang saya boleh katakan, saya akan terus bekerja.

“Saya tak mahu fikir dan fokus perkara sebegitu, biar pengurusan saya yang selesaikan. Jika ia menggugat nama dan kredibiliti saya, kita akan ambil tindakan undang-undang,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kemenangannya di AMT 2025, Fattah meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada peminat yang mengundi.

“Semua yang tercalon hebat-hebat belaka dan saya sendiri anggap mereka sebagai abang-abang saya dalam industri.

“Terima kasih kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan dan mengundi sehingga saya berjaya meraih trofi kemenangan ini,” katanya lagi.

Scroll to Top